11 Ahli Parlimen kerajaan masih belum isytihar harta

Peratusan Ahli Parlimen kerajaan yang telah mengisytihar harta.
Peratusan Ahli Parlimen kerajaan yang telah mengisytihar harta.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 11 Ahli Parlimen kerajaan masih belum mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hasil semakan Sinar Harian di laman sesawang https://mydeclaration.sprm.gov.my, kesemua individu tersebut ialah:

1. Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz

2. Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid

3. Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya

4. Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin

5. Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Mohd Tahir

6. Ahli Parlimen Mersing, Datuk Abd Latiff Ahmad

Artikel Berkaitan:

7. Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri

8. Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun

9. Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

10. Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee

11. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau

Hasil semakan Sinar Harian hari ini mendapati Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh merupakan Ahli Parlimen terbaru membuat pengisytiharan harta kepada SPRM semalam.

Dalam pada itu, semakan di portal pengisytiharan harta itu menunjukkan beberapa Ahli Parlimen kerajaan masih belum mengemaskini pengisytiharan jumlah aset mereka walaupun sudah mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan.

Perkara itu turut dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini yang pelik apabila ada Ahli Parlimen mempunyai pendapatan sehingga RM30,000 sebulan tetapi aset diisytihar RM0.

Antara Ahli Parlimen tersebut termasuklah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi; Ahli Parlimen Jelutong, R. Sanisvara Nethaji Rayer, Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack.

Dua anggota pentadbiran kerajaan iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Mohd Azhar Che Mat Dali dan Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pritchard Arthur Gumbaris masih belum mengemaskini jumlah aset yang tertera RM0 dalam portal SPRM.

Terdahulu, Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan disokong Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar diluluskan selepas dibahaskan 26 Ahli Parlimen.

Selepas Vui Keong menggulung usul berkenaan, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara.

Berdasarkan usul itu, semua Ahli Parlimen, perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).