Enam penguat kuasa JPJ mengaku tidak bersalah

Enam penguat kuasa JPJ Pulau Pinang hadir di Mahkamah Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pagi tadi.
Enam penguat kuasa JPJ Pulau Pinang hadir di Mahkamah Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth pagi tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMASKINI] Enam penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas 40 pertuduhan membabitkan nilai suapan keseluruhan berjumlah RM20,050.

Kesemua mereka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Nizam Zakaria selepas pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, di sini pagi tadi.

Mohamad Azlan menawarkan wang jaminan antara RM15,000 hingga RM20,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, Nizam membenarkan semua tertuduh diikat jamin di antara RM8,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh ialah Muhammad Rozaidi Azmi, 36, berdepan 10 pertuduhan; Khairol Azri Abdul Rahman, 32, (lapan pertuduhan); Mohd Ependi Hassan, 33, (enam pertuduhan); Saidatul Hanim Sabudin, 33, (sembilan pertuduhan), Mohamad Noor Ibrahim, 44, (enam pertuduhan) dan V Chandrasegeran, 49, (satu pertuduhan).

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara Mac 2015 hingga Julai 2018 di pelbagai bank di Bukit Mertajam, di sini.

Keenam-enam mereka didakwa menerima rasuah daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Kesemua pegawai dan penguat kuasa Gred 19 hingga 29 itu turut berdepan dengan 40 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan melindungi pemandu lori.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn Bhd, Ooi Cheng Keat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn Bhd) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Muhammad Rozaidi berdepan 10 pertuduhan utama dan pilihan membabitkan rasuah bernilai RM7,100 manakala Khairol Azri (lapan pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM4,350); dan Mohd Ependi (enam pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM850).

Sementara itu, Saidatul Hanim turut berdepan sembilan pertuduhan utama dan pilihan membabitkan nilai suapan RM2,300; Mohamad Noor (enam pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM4,200) dan Candrasegeran (satu pertuduhan utama dan pilihan dengan jumlah RM1,200).

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kelima-lima tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh manakala Candrasegeran yang kini digantung tugas sejak 26 April lalu tidak diwakili peguam.

Kelmarin, lima anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dan seorang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat ( SPAD) didakwa di mahkamah sama di atas 63 pertuduhan rasuah membabitkan nilai suapan keseluruhan berjumlah RM73,600.

Tertuduh dari JPJ Pulau Pinang adalah Ahmad Tajuddin Husin, 35, (dua pertuduhan); Najib Mohamad Tarmizi, 32, (empat pertuduhan); Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41, (36 pertuduhan); Hasrol Sani Abu Bakar, 39, (lima pertuduhan); Muhammad Airil Teo Abdullah, 31, (12 pertuduhan) dan bekas anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Ahmad Alamin Don, 33, (12 pertuduhan).

Setakat ini, 12 penguat kuasa JPJ telah dihadapkan ke mahkamah manakala enam lagi akan dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan yang sama esok.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes lori kebal: Lima anggota JPJ, bekas kakitangan SPAD mengaku tidak bersalah