60 murid gembira terima bantuan persekolahan

gambar-hiasan
gambar-hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 60 murid daripada keluarga berpendapatan rendah di Kampung Pulau Gajah di sini, hari ini menerima bantuan persekolahan daripada Ikram Kelantan bagi sesi akademik 2019.

Yang Dipertua Ikram Kota Bharu, Dr Marzuki Omar berkata, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban penduduk di kampung itu khususnya dalam menyediakan keperluan sekolah buat anak-anak mereka.

“Sumbangan kelengkapan persekolahan ini diharap sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaan ditanggung memandangkan ibu bapa sedang membuat persediaan keperluan persekolahan kerana musim cuti persekolahan bakal berakhir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan ‘Back To School’ di Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Khidmat Masyarakat IKRAM Negeri Kelantan, Dr Adam Sapran.

Marzuki berkata, pihaknya sentiasa memberi fokus kepada golongan kurang mampu yang ingin melihat anak-anak meneruskan persekolahan dengan sempurna.

Sementara itu, Adam berkata, pihaknya memperuntukkan hampir RM18,000 bagi program Back To School itu bagi membantu mereka yang berpendapatan rendah di enam kawasan di negeri ini menyediakan kelengkapan persekolahan.

“Bantuan yang mula diagih pada Oktober lepas hingga kini melibatkan kawasan Kota Bharu, Kubang Kerian, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Bachok,” katanya.

Penerima, Mohd Irfan Rosli , 12, dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 ketika ditemui berkata, dia amat bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Memandangkan ibu tidak berkerja, dan ayah hanya bekerja sebagai tukang kebun, jadi saya tidak mengharapkan mereka memberi pakaian seragam sekolah baru, kerana sedar mereka tidak mampu. Jadi dengan adanya bantuan ini, saya sangat bersyukur...dapat mengurangkan beban mereka,” katanya.

Sofia Kamisah Jantan, 7, dari Sekolah Kebangsaan Sabak yang gembira menerima bantuan itu berkata, dia mahu terus berusaha untuk berjaya dalam pelajaran. - Bernama