#Undi18 pelengkap pemberdayaan

A
A
A

PADA tahun 1996, ketika menterjemah ucaptama tentang youth empowerment di sebuah persidangan antarabangsa anjuran Program Belia Komanwel, saya dapati istilah bahasa Melayu untuk empowerment pada masa itu iaitu pengupayaan, tidak tepat.

Justeru, saya mencipta istilah baharu iaitu penghakupayaan. Kini, saya menggunakan istilah yang dipinjam dari Indonesia iaitu pemberdayaan.

Pemberdayaan belia ialah belia membuat keputusan dan mengambil tindakan sendiri/bebas atas apa-apa yang berkaitan tentang dirinya, keluarganya, persekitarannya dan masa depannya.

Sejak 1990-an, soal pemberdayaan belia menjadi tajuk besar dalam hampir semua perbincangan tentang belia terutama tentang gerakan belia dan sering diungkapkan para pejuang dan aktivis.

Pada 1997, sebagai penderaf Dasar Pembangunan Belia Negara (DPBN) iaitu menggantikan Dasar Belia Negara (DBN) pertama yang digubal pada 1985, saya memastikan pemberdayaan belia menjadi tema utamanya. Saya juga mencadangkan agar definisi belia yang digunakan pada masa itu iaitu daripada umur 15-40 tahun, diubah kepada daripada umur 15-35 tahun. Tetapi cadangan itu ditolak. Sebagai kompromi, definisi 15-40 tahun dikekalkan tetapi diwujudkan kumpulan umur tumpuan pembangunan belia iaitu 18-25 tahun.

Pemberdayaan belia menjadi tema bagi semua dasar dan resolusi antarabangsa antaranya Program Belia Tahun 2000 dan selanjutnya oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1995, resolusi Persidangan Pertama Menteri-menteri Belia Sedunia PBB di Lisbon, Portugal pada 1998 dan dalam perbincangan Panel Tertinggi Setiausaha Agung PBB Tentang Pekerjaan Untuk Belia pada 2000-2002.

Pemberdayaan belia menjadi tema inisiatif pembangunan belia. Contohnya, memasukkan mahasiswa sebagai anggota Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) dan mewujudkan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Parlimen Mahasiswa dan Parlimen Belia.Janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun #Undi18 selari definisi baharu belia iaitu 15-30 tahun dan ia kesinambungan pendekatan pemberdayaan belia.

Apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019, ia hasil kerja keras Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan keputusan politik yang dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

#Undi18 adalah keazaman politik berani oleh PH. Kelak, ia akan disusuli pindaan atau pemansuhan beberapa undang-undang berkaitan pilihan raya dan belia atau mahasiswa, contohnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).#Undi18 antara tanda aras Malaysia memasuki fasa ketiga demokrasi. Fasa pertama demokrasi ialah ketika kita mula-mula mengamalkannya.

Fasa kedua ialah proses memperkasa institusi demokrasi. Fasa ketiga pula adalah meluaskan partisipasi rakyat dalam membuat keputusan.

Pemberdayaan belia mesti bermula dengan pandangan sarwa tepat iaitu belia bukan hanya pemimpin masa depan tetapi sebagai pemimpin hari ini.

Hari ini, belia pemimpin dalam tiga kategori iaitu sebagai pemimpin generasi yang lebih muda, pemimpin angkatannya dan rakan kepimpinan bersama-sama generasi yang lebih tua.

Dari situlah munculnya soal belia bukan hanya penerima manfaat pembangunan tetapi penyumbang pembangunan dan penolakan bidalan 'orang tua lebih banyak makan garam.'

Pemberdayaan belia mesti diletakkan dengan tepat dalam struktur dan proses membuat keputusan dalam semua bidang dan di semua peringkat.

Di sinilah relevannya pendekatan konsultasi antara tiga sektor utama bernegara, iaitu kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil, belia adalah sebahagian daripada masyarakat sivil.

Semoga #Undi18 menjadi katalis buat pemahaman dan perlaksanaan pemberdayaan belia dengan cara yang lebih sempurna.

Belia pemimpin dalam tiga kategori iaitu sebagai pemimpin generasi yang lebih muda, pemimpin angkatannya dan rakan kepimpinan bersama-sama generasi yang lebih tua."

*Datuk Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar dan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia