X

Kindly register in order to view this article
!

Kuasa Keris Mas dan Taming Sari

A
A

KEJAYAAN Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyempurnakan Eksesais Keris Mas 26/2019 dan Eksesais Taming Sari 19/2019 cukup membanggakan kita dan amat tepat pada masanya.

Dalam eksesais itu, para perwira TLDM kita telah melepaskan tembakan dua peluru berpandu berbeza iaitu Exocet MM40 Block II dari KD Kasturi dan Sea Skua dari helikopter Super Lynx di Laut China Selatan.

Untuk rekod, kali terakhir TLDM menjalankan latihan tembakan peluru berpandu anti-ship sebegini ialah lima tahun lalu iaitu ketika Eksesais Taming Sari 2014.

Namun begitu, mengapa kejayaan eksesais TLDM kali ini cukup bermakna hinggakan para pemerhati pertahanan antarabangsa turut membuat liputan besar-besaran? Liputan eksesais itu mencuri perhatian portal pertahanan Jane’s 360 dan juga Express.co UK yang menyifatkannya sebagai ‘amaran Malaysia kepada China’.

Eksesais itu berlangsung sejurus selepas beberapa insiden di Laut China Selatan – yang secara langsung melibatkan kepentingan nasional kita. Pertama ialah pencerobohan kapal peronda pengawal pantai China (CCG) di kawasan blok penggalian minyak dan gas SK308, South Luconia Shoal. Blok berkenaan ialah lokasi di mana terdapatnya platform Sapura Esperanza yang merupakan milik syarikat Malaysia iaitu Sapura Energy yang sedang menjalankan proses penggalian medan gas asli F14 milik Shell Sarawak.

Kapal CCG itu tidak bersendirian sebaliknya turut mengiringi Haiyang Dizhi 8 yang merupakan kapal hidrografi milik China. Kedua-dua kapal berkenaan jelas bukan sahaja mengganggu proses penggalian minyak dan gas syarikat milik Malaysia, malah turut mencabuli kedaulatan negara kita dengan bertindak melakukan kerja pengukuran untuk penggalian minyak dan gas dalam wilayah perairan milik kita.

Portal Asian Maritime Transparency melaporkan bahawa kapal CCG itu bukan sahaja menceroboh wilayah perairan Malaysia, tetapi juga wilayah perairan Vietnam.

Mujurlah, kapal China iaitu Haijing 37111 itu dilaporkan meninggalkan kawasan Blok SK308 milik kita susulan kehadiran kapal TLDM – menggamit insiden pertembungan kapal pengawal pantai China dengan Kapal Kelas Kedah TLDM pada 2015 yang lalu.

Peluru berpandu

Satu lagi insiden turut meletus di Laut China Selatan pada awal Julai lalu – buat pertama kalinya, Pentagon melaporkan bahawa China telah menembak peluru berpandu dalam latihan ketenteraan di dua kawasan berbeza di Laut China Selatan.

Tembakan peluru berpandu yang digelar sebagai ‘pembunuh kapal pengangkut pesawat udara’ itu didakwa dilakukan di utara Kepulauan Paracels dan juga utara Kepulauan Spratly.

Tindakan Beijing itu disifatkan sebagai bertentangan dengan janji Presiden China, Xi Jinping pada September 2015 kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu iaitu Barack Obama bahawa China tidak akan menjadikan Laut China Selatan sebagai wilayah persaingan ketenteraan.

Profesor James Holmes dalam portal The National Interest melaporkan bahawa China berkemungkinan telah menembak sama ada peluru berpandu anti-kapal DF-21D (Dongfeng 21D) atau DF-26 (Dongfeng 26).

Peluru berpandu DF-26 dianggarkan mampu menjangkau sejauh 4,000 kilometer (km) manakala DF-21D pula mampu menembak sasaran di radius 1,500km.

Langkah agresif China itu tidak lain tidak bukan menandakan niat mereka untuk menguasai wilayah Laut China Selatan melalui monopoli kekerasan (kuasa ketenteraan). Secara simboliknya, bulan Julai 2019 ini juga menandakan genapnya tiga tahun keputusan Tribunal Timbang Tara Tetap (PCA) di The Hague, Belanda pada Julai 2016 yang mengisytiharkan bahawa tuntutan China ke atas 80 peratus wilayah Laut China Selatan sebagai tidak sah dan terbatal.

Meskipun penghakiman di The Hague berkenaan diusahakan oleh Filipina terhadap China, namun implikasinya turut terpakai secara tidak langsung sebahagiannya ke atas pertembungan China dengan Malaysia dan Vietnam.

Namun begitu, hingga ke hari ini China tidak mengendahkan sama sekali keputusan PCA itu – malah berterusan membina pulau buatan lengkap dengan aset ketenteraan di wilayah pertikaian.

Maka di sinilah kritikalnya Eksesais Keris Mas dan Taming Sari – sebagai peringatan halus bahawa ‘Naga Merah’ tidak akan dibiarkan ‘bermaharajalela’. Tahniah TLDM!


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!