Undang-undang pengamal media

A
A

SELEPAS Rang Undang-undang (RUU) pindaan turunkan had umur mengundi diluluskan oleh Parlimen minggu lalu, satu lagi undang-undang berkaitan dengan pengamal media bakal dicadangkan oleh kerajaan.

Cadangan ini akan dilaksanakan setelah Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman mengesyorkan supaya undang-undang pengamal media diwujudkan bagi memberi liputan adil kepada semua pihak ketika pilihan raya. Tujuannya agar laporan media sepanjang pilihan raya bersifat terbuka dan tidak dipengaruhi mana-mana parti politik sejajar dengan tuntutan demokrasi dan kematangan berpolitik.

Maknanya, selepas ini kalau ia diterima dan diluluskan, kita mungkin menyaksikan semua parti politik yang berdaftar dan bertanding di negara ini boleh menggunakan mana-mana siaran televisyen, radio atau akhbar untuk menyampaikan kempen dan liputan berita yang merangkumi semua aktiviti politik mereka tanpa sekatan. Setakat ini, Malaysia belum ada satu undang-undang khusus yang mengawal pergerakan media pada musim pilihan raya, walaupun ada banyak undang-undang yang menyekat kebebasan media seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1986, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Cadangan itu baik bagi demokrasi dan pendemokrasian di Malaysia. Cuma ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum ia dilaksanakan. Benar pencabulan media sering berlaku ketika pilihan raya. Kalau dahulu setiap kali pilihan raya diadakan, media selalu berat sebelah dan memihak kepada pemerintah. Malah ada media tertentu yang bertindak macam biro penerangan parti tertentu yang sentiasa berkempen dan menyerang parti lawan secara berlebihan dan melampau. Itu belum lagi bagaimana penguasaan parti-parti politik tertentu dalam akhbar arus perdana yang secara terang-terangan digunakan untuk berkempen.

Sebab itu, kalau cadangan terhadap perkara ini mahu dilakukan, antara cabaran terbesar sudah tentu kesediaan dan penerimaan media yang mungkin ada kepentingan dan kecenderungan kepada sesebuah parti politik terhadap perubahan ini.

Pengajaran Pilihan Raya Umum pada tahun 1969 juga patut dijadikan teladan dalam memperhalusi perkara ini. Lihatlah bagaimana kempen berbau perkauman yang berlebihan oleh parti politik menerusi akhbar masing-masing akhirnya membawa kepada ketegangan kaum yang mengancam kestablian politik negara. Disebabkan itu juga beberapa akta telah dipinda bagi membolehkan kerajaan meluas dan menguatkuasakan kawalannya terhadap media. Ketika itu faktor kemajmukan dan nilai masyarakat yang berbeza-beza serta isu keselamatan negara menjadi keutamaan kepada pindaan akta tersebut, mengatasi kepentingannya dari sudut demokrasi politik.

Bukan tidak ada usaha diambil bagi memangkin perkara itu. Pada 1974, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein juga pernah mewujudkan mekanisme kawal selia kendiri media. Disebabkan itulah kita tidak mahu akta yang bakal digubal nanti juga bakal menerima nasib yang serupa.

Mari ambil contoh bagaimana perkara yang sama diamalkan di luar negara. Kalau mengikut laporan World Press Freedom Index 2019, antara amalan negara yang tahap kebebasan medianya berada di kedudukan tiga terbaik di dunia iaitu Norway, Finland dan Sweden ialah pertama, semua parti politik yang berdaftar dan bertanding di negara itu berhak menggunakan mana-mana siaran televisyen dan radio untuk menyampaikan kempen mereka. Kedua, liputan berita yang disiarkan merangkumi semua aktiviti parti politik secara adil tanpa pengubahsuaian. Ketiga, pemerintah membenarkan semua parti politik menerbitkan akhbar masing-masing tanpa perlu memohon permit. Keempat, aktiviti perbincangan, pembentangan, perdebatan dan forum diperbanyakkan secara ilmiah. Kelima, berita yang disiarkan dikawal selia supaya tiada unsur-unsur fitnah, pembunuhan watak, menyerang keperibadian serta mempersendakan mana-mana agama dan kaum.

Jadi kalau kerajaan sekarang memang ikhlas dan jujur untuk membebaskan media kepada semua parti politik, lima perkara itulah barangkali yang perlu dicapai di peringkat permulaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.