Dengar bunyi letupan kecil atas rumah

Bumbung rumah Sulong mengalami kerosakan akibat ribut petang semalam. (Gambar kecil: Mohd Zuki Ismail)
Bumbung rumah Sulong mengalami kerosakan akibat ribut petang semalam. (Gambar kecil: Mohd Zuki Ismail)
A
A
A

HULU TERENGGANU - "Bila dengar bunyi angin agak pelik saya tak berani keluar dan hanya beberapa saat selepas itu dikejutkan pula bunyi seperti letupan kecil dari tingkat atas rumah," kata Mohd Zuki Ismail, 55.

Mangsa ribut dari Kampung Lebak itu berkata, sebelum kejadian dia baru pulang bekerja dan sedang bermain dengan cucunya yang berusia setahun setengah.

"Sewaktu balik dari kerja sekitar jam 4.45 petang dah pun hujan. Sampai di rumah, terus bermain dengan cucu sebelum terdengar bunyi angin kuat dari arah hadapan rumah.

"Tiba-tiba seperti ada benda meletup dari tingkat atas rumah dan serentak dengan itu dalam rumah dibanjiri air hujan. Angin kuat dipercayai kepala angin ini melanda sekejap sahaja, tidak sampai lima minit," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zuki berkata, dia dan isteri, Wan Faezah Wan Latif, 49, bertungkus lumus menyelamatkan barangan dalam rumah daripada basah.

"Haya ALLAH SWT tahu perasaan ketika itu. Setelah keadaan reda barulah saya berani keluar lihat persekitaran.

"Bumbung rumah bertaburan di sekeliling, rumah jiran pula ada pokok tumbang hempap kereta. Kejadian menyebabkan lebih kurang 15 keping atap rosak," katanya.

Seorang lagi mangsa ribut di kampung itu, Zaini Mohamad, 56, berkata dia hanya mendiamkan diri di bahagian tengah rumah di tingkat bawah ketika ribut melanda.

Artikel Berkaitan:

Keadaan rumah Zaini akibat ribut yang disifatkannya paling teruk pernah dilaluinya. (Gambar kecil: Zaini Mohamad)
Keadaan rumah Zaini akibat ribut yang disifatkannya paling teruk pernah dilaluinya. (Gambar kecil: Zaini Mohamad)

Menurutnya, akibat kejadian itu hampir 20 keping atap zink rumahnya diterbangkan angin.

"Ketika kejadian suami, Sulong Ahmad, 60 sedang solat Asar. Saya pula sebelum itu dukung anak saudara berusia setahun dan ketika kejadian saya hanya mampu diamkan diri di tengah rumah di tingkat bawah.

"Bunyi bising atap berterbangan jelas kedengaran tetapi saya tidak berani untuk terus naik ke tingkat atas kerana bimbangkan keselamatan. Setelah keadaan reda barulah naik tinjau keadaan.

"Ini kali pertama kejadian teruk sebegini kerana sebelum ini cuma sekeping atau dua keping atap sahaja yang rosak jika berlaku ribut," katanya.

Ribut yang melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang petang semalam menyebabkan 35 rumah penduduk dari tujuh kampung mengalami kerosakan.

Kejadian antara jam 4.30 petang hingga 5.30 petang itu juga menyebabkan beberapa batang pokok tumbang menghempap rumah penduduk selain menghalang laluan jalan raya.