Harimau: Tunggu laporan siasatan penuh

Ahmad Samsuri (tengah) bersama penerima pada majlis pelancaran Rumah Pangsa Mampu Milik di Tok Jembal hari ini.
Ahmad Samsuri (tengah) bersama penerima pada majlis pelancaran Rumah Pangsa Mampu Milik di Tok Jembal hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu menafikan dakwaan aktiviti pembalakan dan perlombongan menjadi punca kemusnahan habitat harimau sehingga haiwan itu tersesat ke perkampungan, minggu lepas.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kajian mengenai perkara itu masih lagi dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan.

"Dalam kes ini, kita harus mendengar maklumat daripada Perhilitan dan saya dimaklumkan bahawa Perhilitan sedang menjalankan kajian kenapa dan apa yang berlaku kepada harimau berkenaan.

"Dari sampel darah (harimau) telah dihantar dan belum lagi diperoleh, kita tunggulah apa sebab sebenarnya keadaan itu timbul," katanya selepas majlis pelancaran Rumah Pangsa Mampu Milik di Tok Jembal hari ini.

Beliau berkata, siapa sahaja boleh membuat dakwaan tetapi apa yang sebenarnya berlaku haruslah melalui penyiasatan yang berautoriti sebelum membuat sebarang dakwaan dan kesimpulan.

"Pun begitu, pada kami ini dua isu berbeza. Pihak kerajaan negeri sangat mengambil berat dalam isu pembalakan dan perlombongan ini.

"Tak kiralah sama ada harimau terlepas atau tidak, pembalakan dan perlombongan tetap kita akan pastikan mematuhi kriteria dan peraturan (yang telah ditetapkan)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap tiada mana-mana pihak membuat sebarang kesimpulan mengenai dakwaan itu sehingga laporan siasatan penuh dilakukan Perhilitan dan Jabatan Perhutanan.

Artikel Berkaitan:

Minggu lalu, penduduk Kampung Besul Lama, Bukit Besi gempar dengan kehadiran harimau yang dikatakan jinak kerana tidak menyerang haiwan dan manusia, malah video mengenai harimau itu turut menjadi tular.

Bagaimanapun, harimau tersebut disahkan mati pada awal pagi semalam akibat virus canine distemper, sejenis penyakit yang menyerang saluran pencernaan, pernafasan dan sistem saraf pusat.