Polis Marin rampas 1,410 bungkus rokok seludup

Rokok
Rokok
A
A
A

LAHAD DATU - Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu merampas 1,410 bungkus kecil rokok seludup dipercayai dari Indonesia bernilai RM13,490 dari sebuah perahu di Kampung Puyut di sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata anggota PPM menjalankan Operasi Landai ke atas sebuah rumah atas air tidak bernombor berpandukan maklumat daripada Unit Risikan Marin pada jam 6.20 pagi.

"Menyedari kehadiran PPM, seorang suspek lelaki melarikan diri dan pemeriksaan lanjut di kawasan rumah itu menemukan sebuah perahu yang didalamnya terdapat rokok seludup pelbagai jenama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, antara jenama rokok yang ditemui ialah Premium International, Menara Dunia, A Satu Merah, A Satu Hijau, LA Hijau, Minna International serta tembakau salak yang kesemua tidak bercukai.

Dalam pada itu, Mohamad Pajeri berkata beberapa siri operasi telah disusun atur bagi membanteras aktiviti penyeludupan di Sabah.

"Unit Risikan Marin sentiasa digerakkan bagi mendapatkan seberapa banyak maklumat sekali gus merancang operasi berpandukan maklumat," katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: