JAS Selangor akan ambil tindakan tegas

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor memberi amaran kepada semua pihak khususnya premis industri di tebing sungai supaya memastikan kegiatan mereka tidak mencemari sungai atau berdepan tindakan tegas.

Pengarah JAS Selangor, Shafee Yasir berkata, walaupun setakat ini tiada kes pencemaran sungai di negeri itu disebabkan oleh pelepasan kumbahan industri, namun amaran tegas perlu sentiasa diberi kerana sungai merupakan sumber air kepada rakyat.

“Tindakan yang boleh dikenakan terhadap premis industri di tebing sungai yang didapati mencemarkan sungai adalah denda RM100,000, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Kita tidak mahu setelah berlakunya pencemaran sungai (oleh premis industri), baru kita nak memberi amaran. Perlu diingatkan bahawa JAS Selangor sentiasa memantau apa jua kegiatan di sungai-sungai di negeri ini demi kemaslahatan rakyat,” katanya hari ini.

Mengulas mengenai insiden pencemaran diesel di Sungai Selangor pada Ahad lepas sehingga menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih sejuta pengguna, Shafee berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan semua agensi terlibat khususnya Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.

Katanya, jika ada mana-mana individu dapat dibuktikan sengaja melakukan sabotaj dengan mengalirkan diesel ke dalam sungai, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, enakmen berkaitan di bawah LUAS serta undang-undang jenayah.

Merujuk kepada insiden itu, Shafee turut menyarankan LUAS menyemak semula kegiatan kontraktor yang menjalankan aktiviti pengorekan pasir di situ memandangkan pontun yang sudah tidak lagi beroperasi dan mengandungi diesel masih berada di sungai terbabit.

“Aktiviti pengorekan dan penyedutan pasir tertakluk di bawah bidang kuasa LUAS dan pastinya ada syarat tertentu yang dikenakan terhadap pontun yang digunakan.

Artikel Berkaitan:

“Pontun yang masih berisi diesel dan dibiar tidak beroperasi ada risiko untuk mana-mana pihak melakukan khianat. Bagaimanapun, kita memang membuat siasatan bersepadu terhadap perkara ini dan melihat apakah langkah seterusnya yang boleh diambil supaya tiada lagi isu sama berulang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil mudah sebarang kegiatan di sungai khususnya berkaitan industri kerana sungai merupakan sumber air rakyat dan sebarang kealpaan boleh memberi impak yang besar kepada pengguna.

Pada Ahad lepas, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan Loji Rawatan Ai (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang dekat sini terpaksa dihenti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Susulan insiden itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari tidak menolak kemungkinan pencemaran tersebut akibat perbuatan sabotaj.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin pula menyatakan berdasarkan siasatan awal, tiga pemancing di Sungai Selangor disyaki menanggalkan klip hos tong yang menyimpan diesel di pontun itu menyebabkan kira-kira 100 liter minyak mengalir masuk ke dalam sungai. -Bernama