Tengku Amir rasmi pusat latihan baharu FAS

Raja Muda Selangor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor, Tengku Amir Shah (tengah) berkenan memotong riben ketika gimik perasmiaan Pusat Latihan Pasukan Bola Sepak Selangor di Kompleks Sukan SUK Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

A
A
A

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan pusat latihan baharu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di padang Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Seksyen 5, di sini.

Keberangkatan baginda ke pusat latihan itu disambut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

Baginda yang juga Presiden FAS turut berkenan melawat sekitar pusat latihan berkeluasan 400,000 kaki persegi itu yang dilengkapi pejabat pentadbiran, padang bola sepak, gimnasium dan pusat rawatan fisioterapi.

Tengku Amir Shah dalam titahnya menyatakan penubuhan fasiliti baharu itu merupakan visi pertama baginda yang mahu memastikan pejabat lama FAS yang terletak di Kelana Jaya dipindahkan selepas hampir 23 tahun beroperasi di lokasi berkenaan.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (kiri) merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Selangor berkenan melihat gambar beberapa kemudahan yang terdapat di Pusat Latihan Pasukan Bola Sepak Selangor di Kompleks Sukan SUK Shah Alam pada majlis perasmian pusat latihan tersebut hari ini. - Foto BERNAMA

“FAS merupakan satu entiti besar dalam kancah bola sepak Malaysia. Ia telah ditubuhkan selama 83 tahun dan berjaya meraih pelbagai kejuaraan utama di Malaysia tetapi masih lagi beroperasi di pusat latihan yang serba kekurangan.

“Beta berharap kemudahan baru ini dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan serta kakitangan FAS dalam memberikan yang terbaik untuk persatuan sekaligus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning di Malaysia," titah baginda pada majlis perasmian fasiliti baharu itu hari ini.

Baginda berharap kemudahan baharu itu yang mula beroperasi secara rasmi hari ini juga dapat memberikan inspirasi kepada pemain selain membolehkan pentadbiran persatuan serta kejurulatihan diletakkan di bawah satu bumbung.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menyertai perlawanan persahabatan bola sepak di antara pasukan Raja Muda Selangor (RMS) dan pasukan Menteri Besar Selangor.

Dalam pertarungan selama 40 minit itu, pasukan RMS berjaya menumpaskan pasukan Menteri Besar Selangor dengan pertarungan yang berkesudahan 2-1.- Bernama