'Jangan lari, UMNO masih relevan'

Ahli Kasih yang hadir pada Majlis Sekalung Budi Seindah Kenangan bergambar beramai-ramai selepas selesai program yang berlangsung di Bangunan UMNO Selangor di Shah Alam hari ini.
Ahli Kasih yang hadir pada Majlis Sekalung Budi Seindah Kenangan bergambar beramai-ramai selepas selesai program yang berlangsung di Bangunan UMNO Selangor di Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jangan lari, UMNO masih relevan walaupun pelbagai tohmahan diterima, kata bekas Yang Dipertua Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih), Puan Sri Dr Aishah Salleh.

Beliau berkata demikian sebagai amanat terakhir Yang Dipertua Kasih sebelum melepaskan jawatan tersebut kepada Datin Sohadah Ramli dalam majlis Sekalung Budi Seindah Kenangan yang berlangsung di bangunan UMNO Selangor di sini hari ini.

Aishah yang merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, kekalahan Barisan Nasional (BN) ada hikmahnya selepas wujudnya penyatuan ummah antara UMNO dengan Pas.

"Ada hikmahnya kita kalah, jika tak kalah, selagi itu kita (Pas, UMNO) tak bersatu. Saya yakin dalam tempoh lima tahun ini kita akan mencapai lebih banyak kejayaan.

"Dalam tempoh sama, bukan ahli UMNO yang akan tinggalkan parti sebaliknya orang luar yang akan masuk UMNO kerana tunggak penyatuan Islam itu telah dicapai," katanya.

Aishah (kanan) menyerahkan tugas Yang Dipertua Kasih kepada Sohadah pada Majlis Sekalung Budi Seindah Kenangan yang berlangsung di Bangunan UMNO Selangor Shah Alam hari ini.
Aishah (kanan) menyerahkan tugas Yang Dipertua Kasih kepada Sohadah pada Majlis Sekalung Budi Seindah Kenangan yang berlangsung di Bangunan UMNO Selangor Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Sohadah berkata, khidmat bakti menerusi program bersama rakyat tetap diteruskan meskipun sedang berdepan senario politik serba mencabar di Selangor.

"Kasih tidak akan mensia-siakan platform lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Selangor untuk mengangkat suara rakyat ke pengetahuan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Kasih juga akan menjalin kerjasama dengan badan bukan kerajaan lain yang mempunyai matlamat sama untuk membantu rakyat dan memberikan khidmat bakti kepada golongan memerlukan," katanya.

Dalam masa sama katanya, Kasih akan memantau program kerajaan negeri yang menyasarkan golongan wanita dan kanak-kanak bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya khususnya kepada golongan memerlukan.

Kira-kira 80 anggota Kasih yang terdiri isteri wakil rakyat BN, bekas-bekas wakil rakyat BN dan ketua UMNO bahagian hadir pada program itu.