Kes Exco bocor maklumat: Kertas siasatan sudah lengkap

Omar Bakhtiar (tengah) menunjukkan peralatan menghisap dadah dan bekalan dadah dirampas dalam Ops Sarang dijalankan pihaknya hari ini.
Omar Bakhtiar (tengah) menunjukkan peralatan menghisap dadah dan bekalan dadah dirampas dalam Ops Sarang dijalankan pihaknya hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kertas siasatan pendakwaan dua kes membabitkan Exco Kerajaan Negeri, Abdul Yunus Jamhari sudah disiapkan di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dua kes laporan pendakwaan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau itu melibatkan satu laporan daripada pengadu melibatkan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan satu laporan dikemukakan Abdul Yunus di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

Menurutnya, sepanjang siasatan dijalankan tiada penahanan dibuat ke atas mana-mana individu.

"Dua kes siasatan sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada IPK Perak untuk tindakan selanjutnya.

"Berhubung dengan hasil laporan siasatan perlu dirujuk kepada Ketua Polis Negeri (Datuk Razaruddin Husain)," katanya pada sidang media di IPK Perak, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka dua kertas siasatan kes Exco bocor minit mesyuarat

Terdahulu Razarudin mengesahkan Polis Perak membuka dua kertas siasatan terhadap laporan kes membabitkan Abdul Yunus.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu arahan meneruskan siasatan kes membocorkan maklumat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan habuan dan fitnah diterima Exco terbabit.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 Julai lalu, Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean membuat laporan polis terhadap Abdul Yunus yang didakwa membocorkan minit mesyuarat MMKN untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat berkaitan pertanian.

Abdul Yunus kemudiannya membuat laporan balas berhubung pembabitan beberapa anggota parti dalam kes fitnah terhadapnya.

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berkata dalam Ops Sarang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kerian hari ini, seramai 44 penagih berjaya ditahan di kawasan bukit Kampung Selamat,Semanggol,di sini.

Menurutnya, operasi dijalankan bermula jam 5 pagi hingga jam 2 petang tadi, disertai seorang pegawai dan 20 anggota.

"Seramai 44 penagih berusia 25 tahun hingga 60 tahun diberkas dalam operasi berhampiran sebuah sekolah agama.

"Polis turut menahan seorang suspek dipercayai pengedar dan menemui 8.16 gram heroin dan 2.4 gram syabu berserta peralatan.

"Nilai dadah dirampas dianggarkan lebih RM 2,000," katanya.