Hampir lima jam pindah gajah liar

Proses pemindahan gajah liar sedang dilakukan anggota Jabatan Perhilitan Kelantan dan PKGK di sini hari ini.
A
A

JELI - Tempoh masa hampir lima jam diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk memindahkan seekor gajah jantan di sini hari ini.

Pengarahnya, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, operasi bermula jam 8.30 pagi hingga 1.15 petang itu disertai 22 anggota dari Jabatan Perhilitan Kelantan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

"Gajah ini berjaya ditangkap selepas dipercayai menceroboh kawasan kebun durian milik penduduk di Kampung Batu Melintang Ahad lalu.

"Awal bulan ini, kita telah menerima beberapa aduan mengenai gangguan gajah liar di sekitar kawasan berkenaan sebelum enam anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli melakukan pemantauan dan berjaya menangkap seekor gajah jantan seberat dua tan matrik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan dari itu, operasi pemindahan dilakukan dengan bantuan dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai yang dibawa dari PKGK untuk memujuk gajah liar berkenaan.

"Operasi pemindahan gajah yang dianggarkan berusia antara 25 hingga 30 tahun itu berjalan lancar dan mamalia berkenaan juga berada dalam keadaan baik serta sihat," katanya.

Proses pemindahan gajah liar sedang dilakukan anggota Jabatan Perhilitan Kelantan dan PKGK di sini hari ini.
Proses pemindahan gajah liar sedang dilakukan anggota Jabatan Perhilitan Kelantan dan PKGK di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ady Ermanty Haniff berkata, gajah jantan yang berjaya ditangkap itu adalah daripada sekumpulan 30 ekor gajah dari Hutan Simpan Gunong Basor.

"Gajah berkenaan akan dipindahkan ke Taman Negara Terengganu menggunakan treler pengangkut dari PKGK.

"Bagaimanapun bilangan yang mengganggu kawasan pertanian penduduk ini lebih kurang 10 ekor," katanya.

Beliau berkata, operasi pemindahan tersebut turut mendapat kerjasama dari Majlis Daerah Jeli bagi menyediakan jentera back hoe untuk membina 'loading bay' dan polis Jeli yang membantu mengawal aliran trafik.

Katanya, bermula Januari lalu sehingga hari ini, Perhilitan berjaya memindahkan sebanyak enam ekor gajah termasuk empat di Jeli dan masing- masing seekor di Gua Musang serta Kuala Krai.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia