Pengerusi DAP Perak beri masa 24 jam untuk Zambry minta maaf

Kor Ming menunjukkan ciapan tweet Zambry yang didakwa menghina DUN Perak.
A
A

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir didesak mengemukakan permohonan maaf kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkaitan satu ciapan melalui twitter yang didakwa menghina Dewan itu.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, isi kandungan twitter itu turut memfitnah dan melemparkan tuduhan yang tidak berasas ke atas Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang turut diciap semula oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib.

Katanya, berdasarkan peraturan DUN Perak, tindakan itu boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana menghina DUN Perak.

"Tweet (ciapan) Datuk Seri Dr Zambry dan diciap semula oleh Khusairi jelas kandungannya telah melemparkan fitnah dan tuduhan. Usul semalam yang dibahas dan diluluskan oleh Dewan, tidak pernah diluluskan oleh Speaker.

"Sebagai pemimpin berwibawa dan budiman, saya ingin beri peluang kepada Zambry dan Khusairi minta maaf kepada dewan dalam tempoh 24 jam," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai ciapan yang dibuat Zambry menerusi twitter semalam mengenai usul pengisytiharan harta oleh Sidang DUN Perak semalam.

Dalam pada itu, Kor Ming turut mendesak tindakan diambil ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad yang mengeluarkan kenyataan mencabar kewibawaan DUN Perak.

Tangkap layar ciapan Zambry semalam.
Tangkap layar ciapan Zambry semalam.

Katanya, kenyataan Saarani bahawa semua pembangkang tidak akan mengemukakan borang pengisytiharan harta kepada Speaker DUN Perak dianggap menghina Dewan kerana usul tersebut telah diluluskan.

"Sebagai seorang ADUN veteran, ini adalah teladan yang buruk dan merupakan satu penghinaan secara terang-terangan sekiranya usul berkenaan dianggap remeh dan dihina.

"Jika keadaan berterusan begini, sistem demokrasi kita akan runtuh dan negara akan huru-hara. Perlembagaan Negeri menetapkan DUN merupakan institusi tertinggi. Tidak ada sesiapa pun lebih tinggi termasuk exco," katanya.

Katanya, jika kesemua mereka tidak mengemukakan permohonan maaf, tindakan undang-undang mengikut Perintah-Perintah Tetap DUN Perak perlu diambil.

Sementara itu, Kor Ming turut menyelar sikap pembangkang yang bertindak keluar Dewan pada hari ini ketika Usul Penambahbaikan Urusan Pentadbiran dan Pengurusan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dibentangkan.

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai kebudak-budakan dan menunjukkan mereka takut serta mahu menutup kesalahan apabila mengetahui usul itu mahu dibahaskan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia