Isu harga petrol: Kerajaan PH disindir tiada idea lain

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menyindir kerajaan PH tiada idea lain dalam mekanisme penetapan harga minyak petrol daripada secara bulanan kepada mingguan, bermula 1 Januari depan.

Beliau berkata, kaedah itu dilihat tidak berubah seperti mana dilaksanakan ketika BN memerintah negara.

"Jika harga bertukar setiap minggu, itu sama dengan kerajaan BN dulu. Tak ada idea lain ke Lim Guan Eng (Menteri Kewangan)?," soalnya menerusi ciapan di Twitter miliknya hari ini.

Mengulas tentang penurunan harga Ron95, Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, ia sebenarnya tiada kaitan dengan kerajaan PH, sebaliknya disebabkan harga minyak dunia turun.

"Mungkin turun kepada RM1.90 seliter dan dah tiada subsidi. Kenapa tak turunkan kepada RM1.50 dan beri subsidi?," soalnya.

Semalam, Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk Ron95 kepada harga yang lebih rendah mulai 1 Januari 2019, sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.

Katanya, kerajaan juga akan menukar kaedah penetapan secara bulanan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM) kepada penetapan secara mingguan berkuatkuasa tarikh berkenaan, dalam keadaan harga minyak dunia yang menurun sekarang.

Jika harga petroleum di pasaran dunia meningkat, kenaikan tersebut akan dikawal dan dihadkan kepada RM2.20 seliter untuk Ron95 dan RM2.18 untuk diesel.

Artikel Berkaitan:

Pengekalan harga itu adalah sehingga pelaksanaan pemberian subsidi petrol Ron95 secara bersasar dilaksanakan tahun depan.