Video intim: Polis siasat ikut undang-undang

Abdul Hamid (tengah) pada sidang media selepas penutupan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis ke-90 di Hotel Ramada Plaza hari ini.
Abdul Hamid (tengah) pada sidang media selepas penutupan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis ke-90 di Hotel Ramada Plaza hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan siasatan berhubung kes penyebaran video intim mirip menteri kanan baru-baru ini mengikut undang-undang dan tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pasukan penyiasat berhak untuk memanggil individu tertentu bagi membantu siasatan seperti penahanan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kerana ia berlandaskan undang-undang ditetapkan.

Menurutnya, kes tersebut begitu sensitif dan licik, maka pegawai yang bertanggungjawab menjalankan siasatan tidak boleh tergesa-gesa atau terburu-buru termasuk tanpa menerima tekanan daripada sesiapa.

"Itu hak pegawai yang jalankan siasatan dan dibenarkan oleh undang-undang, saya tidak memberikan satu laluan di mana mereka (boleh) bertindak sesuka hati, menganiaya orang. Saya bertekad sebagai Ketua Polis Negara, saya hendak menghentikan perbuatan yang tidak adil.

"Saya tidak melihat (penahanan) ini tidak adil, itu tidak adil. Ini semua 'statement' (kenyataan) politik dan saya tidak mahu terlibat dalam polemik politik baik dari kerajaan atau di sebelah sana sebab pada saya ini semua membuang masa sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penutupan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis (PPKP&PPRP) ke-90 di Hotel Ramada Plaza, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Datuk Azisman Alias dan Ketua Polis Negeri, Datuk Raja Shahrom Abdullah.

Abdul Hamid berkata, semua pihak wajar menghormati siasatan yang sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebarang dakwaan mahupun tuduhan akan mengganggu siasatan kes sekali gus menyebabkan pegawai terpaksa mengambil tindakan berulang kali dan itu akan membabitkan kos tinggi sama ada di pihak polis ataupun kerajaan.

"Siasatan masih berjalan apabila dah lengkap, dan arahan-arahan yang diterima daripada Pejabat Peguam Negara kita akan ambil fail siasatan dan berikan kepada Peguam Negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid memandang serius tuduhan beliau sebagai seorang penipu berhubung siasatan kes penyebaran video itu.

Menurutnya, tuduhan tersebut tidak boleh diterima walaupun semua pihak boleh mengeluarkan apa sahaja kenyataan berhubung isu terbabit.

"Biarlah mereka hendak cakap apa-apa pun kecuali kalau tuduh saya sebagai penipu saya tidak boleh terima dan pihak saya telah membuat laporan polis berhubung dakwaan saya sebagai penipu," katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabar Abdul Hamid mengambil tindakan terhadap bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana membuat laporan palsu.

Beliau mendakwa Abdul Hamid berbohong kerana tidak mengambil tindakan terhadap menteri yang dikaitkan dengan video berkenaan.