Peniaga perlu ada lesen perniagaan

Abdul Malik (dua dari kiri) dan Hazrin (kiri) ketika mengadakan lawatan pada program Operasi Bersepadu Bancian Pelesenan Perniagaan di Angsana Mall Johor Bahru.
Abdul Malik (dua dari kiri) dan Hazrin (kiri) ketika mengadakan lawatan pada program Operasi Bersepadu Bancian Pelesenan Perniagaan di Angsana Mall Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menasihatkan pihak pengurusan beli-belah supaya memastikan para peniaga di bawah seliaan mereka memiliki lesen perniagaan.

Setiausaha MBJB, Abdul Malik Ismail berkata, sekiranya para peniaga itu menjalankan perniagaan menggunakan lesen berkelompok, maka perlu juga berurusan dengan MBJB.

"Kepada semua pemilik bangunan perniagaan diminta untuk pastikan peniaga-peniaga mempunyai lesen.

"Jika, sekiranya lesen (perniagaan) berkelompok turut kena berurusan dengan MBJB," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan pada program Operasi Bersepadu Bancian Pelesenan Perniagaan yang melibatkan kira-kira 30 kakitangan pihak berkuasa tempatan berkenaan di Angsana Mall Johor Bahru, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pelesenan MBJB, Hazrin Ahmad.

Abdul Malik berkata, sebanyak 50 notis peringatan kepada kioks dan premis perniagaan dikeluarkan selepas dikesan melakukan kesalahan tiada lesen serta tidak memperbaharui lesen perniagaan daripada 266 premis yang diperiksa.

“Sebanyak 20 peratus daripada jumlah yang diperiksa melakukan kesalahan berkenaan dan berdasarkan pemerhatian ada juga peniaga yang sudah beroperasi lebih 10 tahun tetapi tidak mempunyai lesen perniagaan.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, sebanyak 50 notis peringatan dikeluarkan bagi tempoh 14 hari untuk meminta mereka memperbaharui lesen perniagaan, jika ingkar, notis untuk sita akan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan berkenaan dikenakan mengikut Seksyen 50(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBJB (2016) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, selain denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

"Kita akan buat operasi dari semasa ke semasa. Selain daripada premis perniagaan, MBJB turut melakukan operasi di rumah kedai yang tiada lesen termasuk yang menggunakan rizab awam," katanya.