Henti penjualan 'Ghost Smoke', vape kepada pelajar sekolah

Mohd Ridhwan
A
A

JOHOR BAHRU - Muafakat Pendidikan Johor (MPJ) memandang serius isu penjualan gula-gula 'Ghost Smoke' dan vape kepada pelajar sekolah di negara ini.

Presidennya, Mohd Ridhwan Othman berkata, penjualan gula-gula terbabit dan vape kini dilihat semakin serius serta membimbangkan semua pihak termasuk ibu bapa.

"Penjualan gula-gula yang mengeluarkan asap seperti rokok boleh melahirkan rasa teruja kanak-kanak sekolah untuk cuba menghisap rokok.

"Malah MPJ melihat masalah penggunaan vape dalam kalangan pelajar sebagai satu masalah yang amat serius. Ia patut ditangani secara tegas dan bersama oleh semua pihak," katanya di sini hari ini.

Mohd Ridhwan berkata, vape atau rokok elektronik dipercayai mengandungi bahan kimia yang boleh membahayakan kesihatan malah penggunaan secara berlebihan akan menjadi punca bermulanya tabiat merokok dalam kalangan pelajar.

Katanya, penggunaan vape juga dikhuatiri boleh mengundang gejala penyalahgunaan dadah moden dalam masyarakat jika dilarutkan di dalam cecair dan diisikan ke dalam peranti vape.

"Penjualan vape dalam wajah baru contohnya yang berbentuk jam tangan kepada pelajar sekolah adalah satu bentuk urus niaga yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah.

"Ibu bapa mesti mengambil langkah yang lebih proaktif dalam memantau aktiviti anak-anak, termasuk mengawal aktiviti pembelian atas talian agar perkara seperti ini dapat dikawal," katanya.

Beliau berkata, MPJ mendesak kerajaan agar mengambil langkah tegas dalam membanteras salah laku peniaga yang menyasarkan pelajar sekolah untuk mengaut keuntungan besar.

"Perhatian serius mesti diberikan ke atas perintah larangan yang telah dikeluarkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 2015 berhubung pengharaman penjualan peranti dan cecair vape di seluruh Johor yang kini seakan-akan telah dilupakan.

"Kesedaran ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat terhadap peranan masing-masing dalam menangani permasalahan ini juga amat penting," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar lebih prihatin terhadap perkembangan anak-anak dengan mengawasi pergaulan mereka di samping bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha membendung masalah itu.

"Hanya kesedaran daripada semua pihak dan penguatkuasaan yang tegas daripada pihak yang berwajib dapat melindungi pelajar daripada berterusan dijadikan mangsa oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia