Tolong periksa pendawaian elektrik, pesan Agong kepada rakyat

Al Sultan Abdullah beramah mesra bersama mangsa kebakaran ketika menziarahi mangsa di Perkampungan Sungai Isap 2, di sini, hari ini.
Al Sultan Abdullah beramah mesra bersama mangsa kebakaran ketika menziarahi mangsa di Perkampungan Sungai Isap 2, di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Kejadian kebakaran yang telah meragut nyawa tiga beranak di Perkampungan Sungai Isap 2, Ahad lalu mungkin mampu dielakkan jika semua pihak memandang serius tahap keselamatan kediaman mereka.

Sehubungan dengan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria'atuddin Al Mustafa Billah Shah menitahkan pemilik kediaman, khususnya di kawasan tersebut memeriksa sistem pendawaian rumah masing-masing bagi mengelak insiden tidak diingini.

Baginda bertitah, setiap keluarga perlu memeriksa juga peralatan elektrik di rumah bagi mengelak tragedi sama daripada berulang kembali.

"Saya sedih, pilu. Tolong lihat (periksa) pendawaian (elektrik) dan keadaan rumah. Saya harap, kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi dan jadikan insiden hujung minggu lalu sebagai (insiden) yang terakhir di kawasan ini," titahnya.

"Sebelum ini pun saya sudah berpesan mengenai perkara ini, mungkin disebabkan sikap memandang remeh atau tidak begitu peduli yang akhirnya mengakibatkan insiden atau kejadian hingga meragut nyawa ahli keluarga," titahnya.

Baginda bertitah demikian selepas menziarahi mangsa kebakaran di Perkampungan Sungai Isap 2, di sini, hari ini.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Hamdan Wahid.

Al-Sultan Abdullah juga turut berkenan mengurniakan sumbangan antaranya daripada Takaful Insurans, pejabat Menteri Besar Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan sumbangan peribadi baginda.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hamdan berkata, hasil siasatan yang dijalankan Unit Forensik JBPM mendapati kebakaran tersebut berpunca daripada motor kipas meja yang mengalami kerosakan hingga mengakibatkan berlaku litar pintas.

"Hasil bedah siasat dijalankan terhadap tiga mangsa yang maut dalam kejadian itu mendapati punca kematian adalah kecederaan akibat kesan terbakar dan tidak ada sebarang unsur jenayah dikesan," katanya.

Dalam kejadian itu, Sharifah Azlina Syed Kassim, 37 bersama dua anaknya, Muhamad Haikal Hakimi Hairol, 11 dan Muhamad Adam Daniel, 7 tahun ditemui rentung dalam dua bilik berasingan.

Kebakaran itu juga menyebabkan tiga parah iaitu suami Sharifah Azlina, Hairul Khalid, 38, Syed Azman, 25, yang merupakan adik Sharifah Azlina dan isterinya Norazilah Abdullah, 23.

Adik kepada Norazlina, Nor Syawalina, 19, pula cedera ringan manakala Muhammad Alif Asyraf, 6 yang merupakan anak Syed Azman dan Norazilah tidak mengalami sebarang kecederaan.