Penerbit buku alami masalah kewangan boleh pohon dana PIBN

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penerbit buku yang mengalami masalah kewangan untuk menerbitkan buku atau mengalami tunggakan bagi proses cetakannya boleh memohon Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, dana berjumlah RM17.5 juta yang diperuntukkan sejak 2007 perlu dipohon melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Setakat November tahun lepas, kita sudah menggunakan RM8.3 juta dana PIBN itu dan masih ada lebihan dana RM9 juta yang boleh dipohon oleh penerbit supaya mereka dapat menerbitkan buku.

“Dana ini terbuka kepada mana-mana penerbit asalkan bahan bacaan itu adalah dalam Bahasa Melayu. Melalui dana ini, kita boleh bantu bukan sahaja penerbit malah pada masa akan datang kita dapat memperluaskan lagi industri penerbitan buku,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Sopiah Sharif yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai mekanisme bagi membantu penerbit buku yang tidak dapat menerbitkan buku mereka akibat masalah kewangan.

Terdahulu, Teo berkata sehingga November tahun lepas, lebih RM8 juta dana PIBN telah diagihkan kepada penerbit yang berkelayakan dan jumlah judul yang telah diterbit menggunakan peruntukan dana itu ialah 430 judul.

“DBP masih meneruskan pemberian dana ini kepada penerbit yang berkelayakan dan dana ini telah membantu meningkatkan pasaran industri buku negara selari dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Sopiah yang ingin tahu sama ada kerajaan masih menyalurkan bantuan dana kepada agensi seperti DBP dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) bagi meningkatkan pasaran industri buku negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: