Maut bergesel kereta berhenti buang sampah

Mangsa yang terbaring di atas jalan raya selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Limbat Kota Bharu petang semalam. Gambar kanan, lokasi kemalangan di tempat pembuangan sampah di Kampung Limbat Kota Bharu.
A
A

KOTA BHARU - Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah kereta dipercayai berhenti untuk membuang sampah di Jalan Pasir Puteh - Kota Bharu, Kampung Limbat di sini semalam.

Kejadian berlaku pada jam 7.43 malam itu menyebabkan mangsa, Mohamad Afif Syakiran Saufi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dari arah Melor menghala ke Kota Bharu telah bergesel dengan kereta jenis Perodua Viva di lokasi kejadian.

“Kereta milik seorang guru lelaki berusia 36 tahun itu diletakkan di sebelah kiri jalan kerana dia membuang sampah.

“Mangsa yang menunggang motosikal tersebut hilang kawalan dan kemudian terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat dan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati sistem jalan dua lorong, dua hala dan lurus. Terdapat garisan putus-putus di tengah jalan dan keadaan jalan baik namun cuaca gelap.

“Kemalangan dipercayai berpunca daripada mangsa yang gagal mengawal motosikal, kemudian bergesel dengan kereta dan terjatuh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia