Agenda baiki negara tumpuan Perhimpunan Agung Bersatu

x-default
x-default
A
A
A

KUALA LUMPUR – Situasi dalam negara pasca PRU14 dan agenda untuk memperbaiki keadaan negara dijangka menjadi antara topik utama yang akan dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Bersatu bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Selepas Bersatu bersama rakan-rakannya dalam PH berjaya menumbangkan BN pada PRU14, perhimpunan agung kali kedua itu sudah pasti berbeza setelah Bersatu kini menjadi parti dalam kerajaan – bukan pembangkang seperti perhimpunan pertama tahun lepas.

Setiausaha Agung Bersatu. Datuk Marzuki Yahya berkata selepas PH menakluk Putrajaya Mei lepas, agenda memperbaiki keadaan negara yang rosak akibat pentadbiran terdahulu penting untuk diperjelaskan daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat kepimpinan tertinggi memandangkan ia masih kurang difahami sesetengah pihak.

“Sudah pasti banyak perkara akan dibangkitkan jurucakap (pembahas) negeri kerana ia masih dalam suasana kekeliruan seperti perjalanan pentadbiran dan pemimpin parti di peringkat akar umbi selepas kemenangan pada PRU14.

“Apabila kita dapat feedback nanti, kita akan gunakannya sebagai agenda perjuangan. Ini penting bagi kita kerana ia titik permulaan tentang lakaran perjalanan parti (selepas menawan Putrajaya),” katanya dalam temu bual dengan beberapa organisasi media baru-baru ini.

Temu bual itu bersempena perhimpunan agung kali kedua parti itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar berkata pada perhimpunan agung tahun lepas mereka bersuara sebagai pembangkang tetapi kini sebagai parti kerajaan, platform tersebut perlu digunakan sebaik-baiknya.

“Agenda Melayu Bumputera dan Islam pastinya turut dibangkitkan nanti kerana ia memang dekat dalam Bersatu selain memberi keutamaan dan penekanan kepada isu sosial, ekonomi, pendidikan yang (Bumiputera) masih terbelakang. Jadi ini isu pokok untuk kita tangani dan pada masa sama, kita bangunkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam,” pesannya kepada bakal-bakal pembahas perhimpunan agung tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai kriteria pembahas dan topik yang akan dibahaskan, Marzuki berkata parti telah memutuskan bahawa pembahas yang dipilih bebas untuk menyentuh mana-mana isu yang bersesuaian namun akan dibimbing dan dipantau dari segi intipati perbahasan.

Katanya, dalam kerajaan baharu sekarang, pimpinan Bersatu perlu berfikiran terbuka dan menerima sebarang keluhan dan pandangan, bukan sahaja untuk parti tetapi untuk negara.

“Kita pembangkang sebelum ini dan telah suarakan (pandangan) untuk rakyat dan negara. Sekarang sudah jadi government (dalam PH), jangan takut untuk mendengar suara akar umbi. Dulu kita bercakap pasal 1MDB, kita ambil tindakan, jadi sekarang kita kena cakap benar dan buat keputusan biar semua pihak bercakap pasal kebenaran,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pembahas yang mungkin baru pertama kali berada di pentas, supaya mengawal emosi dan jangan tersasar daripada topik sewaktu perbahasan tertutup selama tujuh minit itu.

“(Perbahasan tertutup kerana) banyak sensitiviti . Tidak mahu pembahas tersasar kerana emosi di atas pentas. Kita tidak mahu (jadi) parti yang perjuang satu kaum tapi nafi (hak) kaum lain. Ini Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Marzuki berkata pihaknya juga sedang menambah baik proses pendaftaran ahli-ahli baharu parti melalui sistem pendaftaran dalam talian dan juga menggunakan borang (kertas) memandangkan jumlah anggota kini mencecah 200,000 orang.

"Sebelum PRU14, kita telah deregistered (dibatalkan pendaftaran). Jadi, banyak dokumen ahli telah tercicir dan kita tidak dapat bagi angka pasti mengenai jumlah keahlian. Namun kita dalam proses tambah baik proses keahlian. Ada juga yang jadi ahli baharu dan dakwa nama tiada dalam sistem, ada juga yang datang tuntut jawatan kononnya telah lama jadi ahli,” katanya.

Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara, termasuk wakil daripada 98 sayap Srikandi dan 115 Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). - Bernama