Bekalan air pulih sepenuhnya Jumaat ini

Senarai kawasan yang masih dalam proses pemulihan bekalan air yang dikeluarkan oleh Air Selangor.
Senarai kawasan yang masih dalam proses pemulihan bekalan air yang dikeluarkan oleh Air Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di tujuh wilayah yang disebabkan oleh pencemaran diesel di Sungai Selangor Ahad lalu dijangka pulih sepenuhnya pagi Jumaat ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, setakat ini bekalan air di Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor sudah pulih sepenuhnya.

Menurutnya, hanya pengguna di sebahagian kawasan di Kuala Lumpur, Kuala Langat, Petaling dan Klang/Shah Alam masih belum menerima bekalan kembali.

Bagaimanapun, pemulihan bekalan di tujuh wilayah terlibat kini mencapai mencapai tahap 98 peratus.

“Bagi kawasan Kuala Lumpur pemulihan bekalan mencapai tahap 99 peratus; Petaling (98 peratus); Klang/Shah Alam (97 peratus) dan Kuala Langat (99 peratus).

“Pihak kami berusaha bagi mempercepatkan pemulihan keseluruhan kawasan dan kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan dihargai.

"Bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air terus digerakkan dan pusat khidmat setempat di kawasan yang masih belum pulih masih diaktifkan sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Raof berkata, pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi pengguna.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan dihargai dan pihaknya memohon pengguna menggunakan air dengan berhemat.

“Pelanggan boleh mendapatkan maklumat dan status terkini pelanggan dengan melayari laman sesawang www.syabas.com,my, Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor atau hubungi di talian 15300,” katanya.

Terdahulu, lebih 1 juta akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dilapor sekali lagi terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual bermula malam Ahad lalu.

Ia berikutan pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang terpaksa dihentikan.

Gangguan bekalan terbabit merupakan insiden kedua selepas penutupan keempat-empat LRA yang menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan Jumaat lalu.