Bekas pengarah YBNT mengaku tak salah tipu pakej umrah

No Image Caption
A
A
A

AMPANG - Bekas pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) yang sebelum ini dituduh atas 76 pertuduhan menipu urusan pakej umrah minggu lalu, didakwa lagi di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Kali ini Mohd. Adam Mohd Ghazali, 31, didakwa satu pertuduhan yang sama dengan menipu seorang jurutera.

Mohd. Adam bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Haslinda A.Raof.

Mengikut pertuduhan, Mohd Adam didakwa telah menipu Ahmad Shahir Yusoff@Abdul Manaf, 38, untuk membuat transaksi wang pendahuluan sebanyak RM6,000 ke dalam akuan Bank Muamalat (M) Berhad milik YBNT Umrah Travel yang diuruskan tertuduh.

Wang pendahuluan itu kononnya bagi urusan pakej umrah yang sebenarnya tidak wujud sehingga mangsa mengalami kerugian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis Jalan AU4/4 Taman Seri Keramat Tengah Hulu Kelang di sini pada 14 November 2016.

Dakwaan di buat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya S.Sangitaa mencadangkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi pertuduhan itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun peguam Kelvinder Singh Sidhu memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung keluarga.

Haslinda kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Julai lalu, Mohd. Adam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas 26 pertuduhan memperdaya mangsa, yang kebanyakannya guru, untuk mengerjakan umrah di bawah syarikat YBNT bagi sesi November hingga Disember 2016, yang sebenarnya tidak wujud.

Penipuan itu didakwa dilakukan melalui Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, hingga kesemua mangsa memasukkan wang antara RM3,000 hingga RM21,000 ke akaun syarikat terbabit pada tarikh tertentu, yang mana keseluruhannya berjumlah RM164,000.

Kemudian pada 17 Julai lalu di mahkamah yang sama, lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas 50 pertuduhan sama menipu menyebabkan kerugian lebih RM130,000.