Suasana di Rakhine tak kondusif, kata PBB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DHAKA - Suasana di negeri Rakhine, Myanmar adalah tidak kondusif untuk penghantaran pulang pelarian Rohingya, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan utusan khas setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Myanmar.

Selepas lawatan 10 hari ke Myanmar, Christine Schraner Burgener membuat pemerhatian dengan Setiausaha Luar Bangladesh M Shahidul Haque di Dhaka pada Selasa, lapor portal berita tempatan Bangla Tribune.

Burgener menyifatkan realiti di Rakhine sebagai "tidak memihak kepada langkah penghantaran pulang" dalam pertemuan dengan setiausaha luar itu.

Semasa lawatannya ke Rakhine, beliau bertemu para pegawai kerajaan Myanmar, kumpulan diplomatik, wakil badan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa serta pasukan PBB di Myanmar.

Burgener, bagaimanapun hanya melawat tempat-tempat yang dibenarkan kerajaan Myanmar dan mendapat akses terhad di negeri Rakhine.

Utusan PBB itu merancang untuk melawat kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada Rabu, menurut seorang pegawai kementerian luar.

Dalam perkembangan lain, Myanmar dijangka menghantar satu delegasi yang diketuai Setiausaha Luarnya, Myint Thu untuk melawat kem-kem di Cox’s Bazar minggu depan.

Rohingya, yang disifatkan PBB sebagai etnik paling teraniaya di dunia, telah berdepan kebimbangan diserang selepas berpuluh-puluh orang terbunuh dalam keganasan komunal pada 2012.

Artikel Berkaitan:

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah melarikan diri dari Myanmar dan menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar menyerang komuniti minoriti Islam itu Ogos 2017, yang menyaksikan jumlah orang teraniaya mencari perlindungan di Bangladesh melebihi 1.2 juta orang.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 umat Islam Rohingya telah dibunuh oleh pasukan tentera kerajaan Myanmar, menurut laporan Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).

Lebih 34,000 orang Rohingya turut dibakar manakala lebih 114,000 lagi telah dibelasah, menurut laporan OIDA yang bertajuk "Forced Migration of Rohingya: The Untold Experience."

Kira-Kira 18,000 wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya telah dirogol oleh tentera serta polis Myanmar manakala lebih 115,000 kediaman etnik Rohingya dibakar dan 113,000 lagi dirosakkan, menurut laporan itu. - Bernama