Pekida tidak bantah lucut hak wang RM140,000

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR- [DIKEMASKINI] Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyelesaikan kes pelucutan hak wang berjumlah RM140,000 milik bertubuhan itu yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semasa prosiding pengurusan kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor, yang mewakili Pekida selaku responden berkata, pertubuhan itu tidak membantah permohonan notis usul dikemukakan pendakwa raya bagi melucut hak wang tersebut.

"Pekida cuba untuk menyelesaikan kes itu dan surat representasi telah dihantar kepada SPRM pada 1 Julai lepas," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya pihak mereka masih belum menerima jawapan berhubung perkara itu.

Prosiding dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, T. Kavita itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh.

Pada masa yang sama Farah Yasmin mengesahkan surat representasi telah dihantar responden dan memaklumkan representasi tersebut masih dalam pertimbangan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Ogos untuk pengurusan kes bagi mendapatkan perkembangan mengenai surat representasi yang dihantar oleh Pekida.

Dalam pada itu bagi kes pelucutan hak wang RM407,000 membabitkan Yayasan Penyelidikan Transformasi (FORT), Farah Yasmin memaklumkan bahawa tiada peguam atau wakil daripada pihak yayasan hadir dalam prosiding hari ini.

Artikel Berkaitan:

“Kes berkenaan ditetapkan untuk pendengaran pewartaan pada 6 Ogos depan,” katanya.

Farah Yasmin turut memaklumkan kes melucut hak wang RM170,000 membabitkan Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBG1M) ditetapkan untuk pengurusan kes pada 21 Ogos depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Pada 19 Jun lepas, Pendakwa Raya menfailkan notis usul terhadap ketujuh-tujuh responden berhubung pelucutan hak wang berjumlah RM216,049,556.79 yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB.