Enakmen Perbadanan Sukan Perak akan dibentang

Howard menjelaskan mengenai Perbadanan Stadium Negeri Perak yang akan diwujudkan pada sidang DUN depan.
Howard menjelaskan mengenai Perbadanan Stadium Negeri Perak yang akan diwujudkan pada sidang DUN depan.
A
A
A

IPOH - Enakmen Perbadanan Sukan Negeri Perak 2019 bakal dibentang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee berkata, sesi libat urus dan mesyuarat dengan pemegang taruh telah dibuat sepanjang sembilan bulan sebelum perbadanan ini diwujudkan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga telah mengadakan rundingan bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Persekutuan setelah mendapati tanah Stadium Indera Mulia dan bangunan Jabatan Belia dan Sukan di bawah hak milik kerajaan Persekutuan.

"Meskipun Perbadanan Sukan Negeri Perak masih lagi dalam proses penelitian untuk diwujudkan, kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan prasarana sukan di negeri ini masih lagi dilaksanakan serta dijalankan seperti biasa.

"Satu sekretariat telah diwujudkan iaitu Unit Khas Penubuhan Perbadanan Sukan Negeri Perak bagi mengkaji mekanisme bersesuaian bagi tujuan penyelenggaraan di bawah pengelolaan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI)," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika sesi soalan lisan pada Sidang DUN Perak hari ini.

Howard berkata, sejumlah RM1 juta yang diperuntukkan dalam Bajet 2019 yang lalu akan dikelolakan unit tersebut sebelum diambil alih oleh Perbadanan Sukan Negeri Perak.

Dalam pada itu, beliau berkata, peranan Perbadanan Sukan Negeri Perak akan diperluaskan bukan sahaja mengurus dan mengawal selia keadaan fizikal fasiliti sukan tetapi boleh menjana dana sendiri.

Menurutnya, ketika ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengendalikan kompleks sukan dengan secara purata jumlah kutipan tiket serta pulangan sewaan tahunan berjumlah RM1 juta manakala kos operasi dan penyelenggaraan pula mencecah RM4 juta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi menjana pendapatan, pihaknya mencadangkan agar bukan sahaja acara atau kejohanan sukan boleh diadakan di kompleks sukan ini tetapi turut membenarkan penganjuran aktiviti mahupun acara bukan berkaitan sukan.