Koop TK tawar insurans mampu milik

A
A
A
KOPERASI Tanjong Keramat Kota Kinabalu Berhad (KoopTK) dengan kerjasama syarikat penginsurans dan takaful Great Eastern Holdings melancarkan program Sayangi Hidupku Medicare yang menawarkan perlindungan dan penjagaan kesihatan mampu milik.

Menerusi program berkenaan, pelanggan berpeluang menikmati pembiayaan kos rawatan perubatan, kemalangan, kematian atau keilatan yang tidak terduga dalam tempoh perlindungan selama 24 jam di serata dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KoopTK, Suli Koid Chin Lin, program itu diperkenalkan bagi menyahut seruan kerajaan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan perlindungan dan penjagaan kesihatan dengan harga yang berpatutan dan tidak membebankan.

“Matlamat program ini jelas iaitu ingin menyokong seratus peratus usaha berterusan pihak kerajaan yang selama ini menanggung bebanan belanjawan yang sangat tinggi khususnya terhadap kos rawatan kesihatan. Antara kelebihan yang ditawarkan melalui program ini adalah menerima segala jenis penyakit kronik atau penyakit yang sedia ada tanpa memerlukan sebarang pemeriksaan kesihatan,” katanya pada Pelancaran Program Perlindungan dan Penjagaan Kesihatan Sayangi Hidupku Medicare di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh.

Hadir sama, Penasihat KoopTK, Datuk Seri Panglima Yahya Hussein, Timbalan Pengerusi KoopTK, Burhanuddin Yahya dan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Suli berkata, bagi sesiapa yang membuat pembayaran premium, tempoh perlindungan adalah serta merta dan had maksima layak mendapatkan perlindungan sehingga berusia 80 tahun, tertakluk kepada terma dan syarat.

Ujarnya, jumlah premium bagi setiap program yang ditawarkan juga adalah tetap pada setiap tahun.

“KoopTK amat prihatin dan berani mengambil risiko dengan menyedia serta menawarkan tiga manfaat secara tahunan iaitu manfaat hospital, kemalangan serta perlindungan hayat (takaful).

“Oleh itu, sasaran program ini adalah untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah (B40) dengan memahami kekurangan dan kekangan kewangan yang terpaksa ditanggung dalam situasi ekonomi serba mencabar pada hari ini,” katanya.

Suli berkata, terdapat dua program yang ditawarkan iaitu Program Mesra B40 dan Program Kasih yang mampu milik.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu, Yahya Hussin berkata, inisiatif yang komprehensif itu mampu memberi manfaat kepada anggota koperasi dan masyarakat, sekali gus meningkatkan kesedaran mendapatkan perlindungan kesihatan.