Mohd Zaidi pangku tugas Ketua Polis Pekan

Dari kiri; Mohd Zaidi, Othman dan Amran semasa Majlis Serah Terima Tugas di IPD Pekan hari ini.
Dari kiri; Mohd Zaidi, Othman dan Amran semasa Majlis Serah Terima Tugas di IPD Pekan hari ini.
A
A
A

PEKAN - [DIKEMASKINI] Deputi Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin dilantik memangku tugas Ketua Polis Daerah Pekan menggantikan Asisten Komisioner Amran Sidek yang memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Majlis serah terima tugas antara Mohd Zaidi dan Amran berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini hari ini disaksikan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Datuk Othman Nanyan.

Mohd Zaidi berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Amran dan menyifatkan ketuanya itu sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

"Tahniah kepada Tuan Amran di atas kenaikan pangkat. Begitulah lumrah dalam pasukan ini pemimpin silih berganti. Selama tiga tahun saya bertugas di bawah beliau di IPD Pekan ini, beliau pemimpin berwibawa dan ambil berat hal anak buah di lapangan

"Di Pekan ini kita banyak terlibat program istana, di situ saya belajar protokol istana dan pengurusan VIP seperti Perdana Menteri. Semua ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan bererti kepada saya sebagai Timbalan Ketua Polis daerah," katanya.

Amran (kiri) menyerahkan tugas Ketua Polis daerah kepada Mohd Zaidi disaksikan Othman.
Amran (kiri) menyerahkan tugas Ketua Polis daerah kepada Mohd Zaidi disaksikan Othman.

Amran sudah pun memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti sejak 19 Julai lalu.

Beliau menyertai pasukan polis pada Mac 1982 sebagai pegawai Pasukan Polis Hutan Batalion 7 Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Jalan Pekeliling Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga pernah bertugas di Gong Badak, Terengganu pada 1986, bertugas sebagai pegawai narkotik, juruiring polis Almarhum Sultan dan dilantik Ketua Jabatan Trafik Daerah Kuantan sebelum menjawat Timbalan Ketua Polis Daerah Pekan selama tujuh tahun dan empat tahun kemudian dilantik Ketua Polis Daerah.

"Saya masih ingat pada 2007 sejarah Pekan terputus hubungan semua jalan, baik air dan darat. Apa-apa tugas semua menggunakan helikopter dan makanan perlu diturunkan menerusi udara di Padang Golf Lama Pekan.

"Begitu juga pengurusan kes mati lemas di Pahang pada 2008 melibatkan enam pelajar. Saya juga bertuah dapat belajar tatacara pengurusan dan kawalan VIP. Paling pokok majlis melibatkan istiadat kesultanan Diraja Pahang," katanya.

Sementara itu, turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Pekan di antara Norhasimah Kemas Salleh dengan Rabbihah Yakob disaksikan Pengerusi Perkep Kuantan, Ruzaya Mohd Noor.