Isu kereta baharu Exco: Proton bukan lagi kereta nasional

Asmuni pada Persidangan DUN Perak hari ini.
Asmuni pada Persidangan DUN Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Pembelian 16 kereta import jenis Toyota Camry bagi kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak bukan bermaksud tidak menyokong kereta keluaran tempatan, Proton.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, ini kerana pada masa kini Proton sendiri bukan lagi milik sepenuhnya kerajaan Malaysia.

"Soalan ini selalu orang tanya mengapa tidak beli Proton. Taraf dan status Proton sekarang dah bukan lagi kereta nasional, ia sudah dimiliki syarikat luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Pada 2017, DRB-Hicom iaitu pemilik utama Proton telah mencapai persetujuan untuk menjual 49.9 peratus saham Proton kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group.

Mengulas lanjut, Asmuni berkata, dalam pembelian itu, kerajaan negeri juga melihat aspek-aspek lain seperti keselamatan dan kos secara perbandingan dengan kereta jenama lain.

"Camry pun orang luar punya dan begitu juga Proton yang bukan lagi kereta nasional, ia milik syarikat China," katanya.

Menurutnya, kerajaan Perak memperoleh penjimatan RM81,000 bagi pembelian sebuah kereta Toyota Camry iaitu pada RM109,000 berbanding RM190,000 harga pasaran.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu kemudiannya menarik perhatian ADUN BN dari Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim yang meminta beliau membetulkan kembali kenyataan dibuat.

"Proton bukan kereta nasional? Jadi saya nak tahulah berapa peratus sebenarnya saham dimiliki China ini, minta betulkan balik kerana beliau jawab tak betul," katanya.