Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT dibuka tidak berubah berbanding dolar US hari ini berikutan prestasi dolar yang terus mendapat tarikan menjelang jangkaan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan Bank Pusat Eropah (ECB).

Pada 9.05 pagi ini, ringgit berada pada paras 4.1180/1210 daripada 4.1180/1190 yang dicatat pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, prestasi dolar US yang lebih kukuh berbanding kelompok mata wang utama dunia itu didorong oleh sikap pelabur yang sebaliknya menunggu isyarat jelas mengenai arah rizab Persekutuan membabitkan kadar faedah.

"Mereka juga menjangkakan ECB akan melakukan kelonggaran yang akan diumumkan hari ini dan akan membuka jalan bagi penurunan kadar faedah AS," katanya.

Menurutnya, pasaran mata wang turut dijejaskan oleh tindakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengurangkan pertumbuhan global tahun ini kepada 3.2 peratus berbanding 3.3 peratus yang ditetapkan pada April, sekali gus menekankan keperluan segera bagi mengurangkan pertikaian perdagangan dan teknologi yang berlaku sekarang.

IMF juga menurunkan sasaran jumlah perdagangan barangan dan perkhidmatan global kepada 2.5 peratus pada 2019.

Selain itu, secara keseluruhannya, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0146/0179 daripada 3.0177/0189 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5903/5953 daripada 4.6023/6042.

Artikel Berkaitan:

Ringgit bagaimana pun susut berbanding yen Jepun kepada 3.8073/8104 daripada 3.8056/8079 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.1224/1273 daripada 5.1220/1244. - Bernama