Nilai tinggi dalam perubatan moden

A
A
A

TAHUKAH ANDA

TAHUKAH anda, hempedu bumi atau nama saintifiknya, Andrographis paniculata dikatakan herba paling pahit? Tahap kepahitannya membuatkan tumbuhan itu digelar ‘raja herba pahit’.

Namun di sebalik rasanya yang mampu mengundang kerut pada wajah tatkala menikmatinya, khasiat daripada tumbuhan berkenaan mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

KHASIAT hempedu bumi boleh merawat demam.
KHASIAT hempedu bumi boleh merawat demam.

Sebenarnya, khasiat hempedu bumi atau dikenali dengan panggilan 'akar cerita' bukanlah satu penemuan baharu. Ia digunakan secara tradisional oleh pelbagai masyarakat sejak turun-temurun.

Pelbagai faedah yang boleh didapati daripada herba itu menyebabkan para saintis berusaha mengkajinya agar dapat dimanfaatkan sebagai ubat moden yang boleh didaftarkan penggunaannya.

Kepada Sihat:Aktif, penuntut pascasiswazah Doktor Falsafah di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Tee Khim Boon telah berkongsi hasil penyelidikannya mengenai hempedu bumi.

TEE Khim Boon
TEE Khim Boon

Artikel Berkaitan:

Ujar Khim Boon, tumbuhan berkenaan mengandungi sebatian metabolit sekunder yang spesifik dalam kumpulan terpenoid yang dikenali sebagai andrografolida, deoksiandrografolida, neoandrografolida dan andrograpanin.

Selain itu, terdapat juga sebatian kimia lain yang memperlihatkan ciri-ciri bioaktiviti seperti antimalaria, antikanser, antihipertensi dan perlindungan fungsi hati. Antara khasiat lainnya ialah:

1. Menurunkan paras gula

Kajian klinikal menunjukkan tiada kesan sampingan atau toksik ke atas pesakit. Namun, paras gula selepas puasa dan hemoglobin A1c yang digunakan untuk memantau glukosa pesakit kencing manis telah menurun secara signifikan.

2. Perlindungan fungsi hati

Herba itu telah diuji keberkesanannya ke atas perlindungan fungsi hati (hepatoprotective effect) seperti jangkitan hati kronik disebabkan virus hepatitis B.

3. Kurangkan jangkitan saluran pernafasan

Kajian klinikal menunjukkan pengurangan simptom batuk, selesema, sakit kepala, demam, sakit tekak, keletihan dan gangguan tidur secara signifikan. Kesannya selepas lima hari pengambilan herba itu ke atas pesakit jangkitan saluran pernafasan.

4. Kurangkan sakit sendi (artritis)

Dalam satu kajian klinikal ke atas pesakit artritis telah menunjukkan pengurangan sakit sendi dan sakit lutut selepas pengambilan herba itu.

Hempedu bumi dapat bertindak sebagai komplemen semula jadi untuk pesakit artritis mengurangkan simptom-simptom sakit sendi.

5. Mengurangkan kolitis ulseratif

Menurut laporan satu kajian klinikal, pesakit kolitis ulseratif yang menimpa pada usus besar dan rektum jenis ringan hingga sederhana yang mengambil herba itu pada dos tertentu, telah menunjukkan tindak balas positif.

HEMPEDU bumi apabila dikeringkan untuk tujuan perubatan
HEMPEDU bumi apabila dikeringkan untuk tujuan perubatan



ANEKDOT

MENGENAI hempedu bumi:Pokoknya tumbuh menegak dengan ketinggian 60 hingga 90 sentimeter. Daunnya berbentuk bujur, runcing di hujung dan nipis di pangkal, berwarna hijau tua, licin dan tersusun secara bersilang.

Perlu disimpan di tempat yang sejuk, kering dan terlindung daripada cahaya matahari.

Khasiat lain:

- Merawat demam. Caranya dengan merebus 25gram (g) daun segar atau 3g daun kering dan air rebusan diminum dua kali sehari sebelum makan.

- Merawat selesema. Caranya dengan merebus 1.5g hingga 3g serbuk daun kering. Minum air rebusannya sebanyak tiga kali sehari, selepas makan dan sebelum tidur.

- Merawat cirit-birit. Caranya dengan merebus 3g hingga 9g daun kering. Minum air rebusan apabila diperlukan selepas makan dan sebelum tidur.

- Berpotensi untuk digunakan sebagai agen antikanser, antihipertensi, antibakteria, antiviral, antimikrobial, antiparasitik, antivenom, antitrombotik, immunostimulan, antioksida dan antiinflammatori.

- Boleh dijadikan julap iaitu ubat pencuci perut.

- Merawat gigitan ular.

- Membantu kitaran haid yang tidak teratur.

- Menurunkan darah tinggi.

- Boleh merawat luka dengan mengambil daun dan letak pada luka.

- Meningkatkan pertahanan badan dan ciri melawan virus.

- Mengelak pengumpulan kolesterol pada salur darah. Sesuai dimakan oleh mereka yang mempunyai kolesterol tinggi.

- Melancarkan pembuangan air kecil.

- Meneutralkan toksin.

- Mengurangkan masalah gout.

- Meningkatkan prestasi buah pinggang.

- Mempercepatkan pembakaran lemak.

Kesan sampingan:

- Pengambilan pada dos tinggi akan menyebabkan sakit perut, muntah dan kehilangan selera makan. Ia disebabkan rasa pahit hempedu bumi mengandungi bahan aktif sebatian kimia andrographolide.

- Wanita hamil, ibu sedang menyusukan anak dan pengguna yang alergi kepada tumbuhan-tumbuhan herba tidak boleh mengambil ubat tradisional ini.

Profil

Tee Khim Boon merupakan penuntut pascasiswazah yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.