Jual durian RM1,000: Peniaga dikompaun RM2,000

Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung ketika bercakap pada sidang media di sini semalam.- Foto Bernama
Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung ketika bercakap pada sidang media di sini semalam.- Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah kedai durian di Jalan Macalister yang tular di media sosial kerana menjual tiga biji durian pada harga hampir RM1,000 dikompaun RM2,000 semalam kerana meletakkan tanda harga mengelirukan dan bukan dalam Bahasa Malaysia.

Timbalan Pengarah yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Chin Ching Chung berkata, tindakan itu dikenakan terhadap dua pemilik kedai itu yang masing-masing berumur 42 dan 58 tahun.

"Susulan aduan yang kami terima mengatakan kedai berkenaan menjual tiga biji buah durian jenis Duri Hitam, Ochee dan D200 pada harga hampir RM1,000, sepasukan penguat kuasa kementerian telah pergi ke premis itu untuk menyiasat sama ada berlaku pencatutan atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Pemeriksaan ke atas invois-invois belian dan jualan, rekod jualan dan penyata kewangan kedai itu mendapati tiada unsur-unsur pencatutan berlaku di premis berkenaan.

"Bagaimanapun, kedai itu didapati meletakkan tanda harga yang mengelirukan dan tanda harga itu pula hanya dalam Bahasa Cina, sedangkan ia sepatutnya dibuat dalam Bahasa Malaysia,” katanya.

Ching Chung menjelaskan tanda harga mengelirukan itu dibuat apabila peniaga-peniaga berkenaan hanya mempamerkan tanda harga di antara RM65 dan RM95 untuk sekilogram buah durian tanpa menyatakan dengan jelas caj yang sepatutnya dikenakan kepada pengguna.

"Penandaan harga sedemikian menimbulkan kekeliruan kepada pengguna dan boleh dimanipulasikan oleh pihak peniaga dan ini merupakan satu kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Seksyen 12 (1) Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 10 kompaun berjumlah RM1,500 telah dikeluarkan terhadap peniaga-peniaga durian sejak musim raja buah itu bermula dua bulan lepas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, tujuh daripada kompaun itu melibatkan kesalahan menggunakan alat timbang dan sukat tamat tempoh serta tiada cop KPDNHEP, manakala tiga lagi kerana peniaga durian tidak meletakkan tanda harga.

"Pihak kami akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga durian mematuhi peraturan dan pengguna tidak ditipu oleh mereka (peniaga)," katanya. - Bernama