Membuang tongkat yang patah

A
A
A

DUNIA yang dipacu internet benar-benar mengubah banyak perkara. Ia telah menonggang terbalik serta menghuru-harakan pemikiran manusia khususnya mereka yang tidak mahu menerima realiti perubahan yang berlaku. Pada prinsipnya, cara kita melihat sesuatu itu sudah tidak sama seperti 10 tahun lalu.

Dahulu, kita menerima konsep biar lambat asal selamat kerana lambat itu membawa maksud tertib dan tersusun. Dahulu, sesuatu yang berbentuk evolusi itu diterima kerana ia perubahan yang perlahan dan tidak mengocak suasana sekeliling seperti revolusi.

Kini, kita terima kepada realiti, biar cepat asal selamat kerana perubahan yang cepat pun tertib dan tersusun kerana kita semua telah menerimanya sebagai suatu paradigma yang baharu.

Persepsi kita mengenai saiz pun sudah berubah. Jika dahulu, hanya yang besar dan raksaksa itulah yang hebat. Kini, yang kecil pun punyai kehandalannya. Malah, yang kecil boleh senang-senang mengalahkan yang besar. Situasi David lawan Goliath iaitu yang kecil menewaskan yang besar bukan lagi luar biasa.

Dari segi pencapaian pun keadaan telah berubah. Sesiapa yang bermula dahulu tidak semestinya sampai lebih awal atau yang bermula kemudian akan sampai lewat. Pada hari ini, yang bermula kemudian pun boleh memenangi perlumbaan.

Arena persaingan sudah rata atau level playing field. Sesiapa yang tekun dan fokus akan memenangi apa jua perlumbaan dan persaingan. Kisah arnab dan kura-kura yang berakhir dengan kemenangan kura-kura kerana ia lebih tekun dan fokus menuju matlamat memang kisah teladan yang masih relevan.Pada hari ini, kita lihat begitu banyak pencapaian oleh orang yang baru dalam pelbagai bidang. Tetapi kita juga nampak ramai mereka yang baru ini yang cepat kecundang.

Dalam perlumbaan pada hari ini, sang arnab lebih banyak daripada kura-kura. Tetapi kura-kura juga banyak yang menang kerana banyak sang arnab tidak tekun dan fokus dalam perlumbaannya.

Ini kerana, walaupun teknologi mempercepatkan aktiviti kita, teknologi juga datang dengan pelbagai gangguan. Teknologi jugalah yang menjadikan kita tenggelam timbul dalam dua alam dengan wujudnya teknologi augmented reality.

Artikel Berkaitan:

Dengan adanya augmented reality bila mana alam nyata dilapisi alam binaan teknologi, kesannya membuatkan manusia bingung tetapi terhibur. Unsur hiburan inilah yang melalaikan dan ia membazir masa mereka yang tercebur ke alam ini.

TeknologiSaya menyentuh mengenai kelajuan yang membolehkan sesiapa sahaja untuk menang. Saya juga menyebut mengenai tempoh masa yang memungkinkan yang lewat masuk gelanggang untuk menang juga. Saiz bukan penentu kemenangan. Dan betapa teknologi boleh mengalih perhatian sesiapa sahaja hingga lalai dalam apa jua perlumbaan.

Kesemua faktor-faktor ini meratakan padang permainan. Kerana itu ia seharusnya menjadi pendorong kepada mereka yang berasa tertinggal, lemah dan kecil dalam perlumbaan hidup ini. Orang Melayu khususnya tidak perlu berasa lemah semangat apabila angka pencapaian mereka masih menunjukkan mereka masih corot lagi.

Apabila teknologi telah merobah dunia perlumbaan seolah-olah garisan permulaan perlumbaan dilakar semula, orang Melayu juga mempunyai segala peluang untuk memenangi perlumbaan ini. Tetapi, mengapa orang Melayu penuh rasa bimbang, risau dan ragu dengan pencapaian orang lain?

Barangkali, mindset mereka masih belum berubah. Mereka belum sedar betapa teknologi dan bukannya kuota, subsidi dan peruntukan khas yang sebenarnya mempunyai keupayaan yang lebih ampuh untuk membantu orang Melayu untuk bersaing di padang yang rata.

Meskipun politik boleh membantu manusia dalam sesebuah kelompok, namun akhirnya kejayaan individu jugalah yang menjadi penentunya. Setiap lidi mesti lurus dan liat sebelum bercantum menjadi sebatang penyapu yang kuat. Tidak ada gunanya jika lidi yang lembik dan kontot bercantum menjadi sebuah penyapu yang tidak boleh menyapu dengan bersih.

Kini, ramai sekali orang Melayu yang sudah sedar. Mereka tidak rasa perlu lagi bergayut dan bertongkat dengan kerajaan dan politik semata-mata. Dahan untuk bergayut sudah rapuh, tongkat pun dah patah. Mereka perlu mencari ruang dan peluang yang baharu melalui kumpulan NGO dan juga angkatan perniagaan.

Salah satunya ialah grup Ayuh Bangkit yang baru berusia tiga bulan, tetapi begitu aktif sebagai sebuah kumpulan usahawan. Grup Ayuh Bangkit yang diketuai oleh Mohd Fadzil Hashim ini mempunyai semangat kerjasama, ukhuwah, keberanian dan cepat bertindak.

Kumpulan yang dianggotai dengan ribuan usahawan ini tampak pantas dan handal kerana mereka memperalatkan teknologi untuk bergerak. Pada Ahad ini, 28 Julai 2019, mereka bersidang lagi dalam sesi Ayuh Bangkit 3.0 di Cyberjaya. Watch Out!