Peguam PEKA bidas polis tahan tiga Orang Asli Temir di Gerik

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - Tindakan polis menahan tiga Orang Asli Temiar di Kampung Sungai Papan, Gerik adalah tidak wajar kerana masyarakat itu hanya mempertahankan hak tanah adat mereka.

Menurut Peguam yang dilantik Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Thiyagu Ganesan, tangkapan tersebut tidak mengambilkira keadaan mereka di mana mereka hanya mempertahankan dan menyuarakan hak mereka terhadap Tanah Adat tanpa ada sebarang niat untuk menceroboh atau mencabul hak-hak orang lain atau hutan simpan.

"Mereka hanya mempertahankan hak mereka sahaja dan dalam kes ini kerajaan negeri yang tidak mahu mengiktiraf Tanah Adat Orang Asli."

"Kerajaan negeri sepatutnya berbincang dengan masyarakat Orang Asli Temair tetapi bukan menggunakan cara seperti ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Hari ini, tiga Orang Asli suku Temiar ditangkap ketika operasi merobohkan sekatan yang dibina penduduk di kawasan tersebut bagi menghalang pembalak.

Tiga Orang Asli ditahan ialah Johari Aleuj, Pam Yeek dan Shukri Man, lima motosikal dan satu kamera dirampas.

Dalam pada itu, Thiyagu menjelaskan, kesemua mereka sedang disiasat di bawah seksyen 341 Kanun Keseksaan dan dua lagi orang asli akan di siasat di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana kesalahan tidak membawa kad pengenalan yang boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua- duanya sekali.

"Saya akan ke mahkamah majistret bagi memastikan membela nasib Orang Asli ini dan terpulang kepada majistret untuk membuat keputusan selepas mendengar hujah daripada pihak kami," katanya.

Sabtu lalu, tiga penduduk Temiar ditangkap apabila pihak polis dan pembalak merobohkan sekatan di kampung tersebut.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, mereka dibebaskan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waythamoorthy menggesa agar pihak polis tidak berpihak kepada pembalak.

Susulan kejadian pada Sabtu lalu itu, masyarakat Orang Asli Temiar berjanji akan meneruskan sekatan mereka yang dibina semula semalam, menyebabkan penangkapan terbaru itu.

Masyarakat Orang Asli tersebut mendakwa pembalak melanggar hak tanah adat mereka tetapi kerajaan Perak menegaskan pihaknya berhak mengeluarkan permit pembalakan di kawasan itu.