Balai Polis Tronoh kini berusia 113 tahun

Tajudin (tengah) bergambar dengan pegtawai-pegawai polis pada majlis lawatan dan penyerahan perabot di Balai Polis Tronoh.
A
A

TRONOH - Polis Perak merancang untuk jadikan Balai Polis Tronoh yang berusia 113 tahun sebagai Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) pertama di negeri itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, balai berkenaan merupakan salah satu balai polis tertua yang masih beroperasi selepas diwujudkan pada zaman pemerintahan British tahun 1906.

Menurutnya, cadangan itu akan dibawa ke pengetahuan pihak pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi merealisasikan hasrat itu.

"Balai ini antara tertua dalam negara yang mempunyai nilai sejarahnya berikutan ia wujud pada zaman British dan komunis selain ia masih mengekalkan struktur binaan asal yang diperbuat daripada kayu termasuk rumah pasung.

"Sekiranya dapat kebenaran dijadikan muzium, pelbagai barangan antik dan lama seperti gari, pelbagai senjata seperti parang dan benet serta telefon lama akan dipamerkan di sini," katanya.

Razarudin (kanan) menemani Tajudin (dua, kanan) melawat Balai Polis Tronoh pada majlis lawatan dan penyerahan perabot.
Razarudin (kanan) menemani Tajudin (dua, kanan) melawat Balai Polis Tronoh pada majlis lawatan dan penyerahan perabot.

Beliau berkata demikian pada majlis lawatan dan penyerahan perabot oleh Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (Start) Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md Isa di Balai Polis Tronoh, di sini semalam.

Razarudin berkata, pihaknya akan meminta kerjasama pengurusan muzium polis untuk cungkil sejarah awal di zaman itu.

"Kita mempunyai rekod sejarah bermula tahun 1940 dan peristiwa Balai Polis Bukit Kepong namun, sejarah terawal bermula tahun 1900 perlu dicungkil di sini," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan pembinaan balai polis baharu di kawasan itu dengan tambahan 20 unit berek.

"Bagaimanapun, pembinaan bangunan itu bergantung kepada peruntukan daripada kerajaan kerana ini baru peringkat cadangan.

"Kos bagi pembinaan bangunan baharu dan muzium juga masih belum diputuskan," katanya.