Usaha cari anggota hilang diteruskan

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha mencari dua anggota tentera yang hilang di Pulau Perak, Kedah Jumaat lepas diteruskan melibatkan semua cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata pihaknya juga akan menjalankan siasatan dari semua sudut berhubung kehilangan dua anggota tentera darat yang sedang bertugas dalam operasi di Pulau Perak itu.

Sambil menyifatkan kejadian itu adalah kes terpencil, beliau berkata pihaknya juga akan melihat dari segi keselamatan anggota yang bertugas di pulau itu.

“Usaha mencari masih diteruskan termasuk menggunakan semua cabang perkhidmatan ATM," katanya kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Anugerah Sukan Angkatan Tentera Malaysia bagi tahun 2018 di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

Semalam Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan kehilangan dua anggota iaitu Kpl David Edmund Rapi dan L/Kpl Moses Logers dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis.

Kehilangan kedua-dua anggota itu dikesan ketika Ketua Penempatan membuat pemeriksaan pada lewat malam (19 Julai) bagi mengira kekuatan anggota.

Sebelum ini kes kehilangan anggota ATM di Pulau Perak pernah berlaku pada 3 Oktober 2016 yang membabitkan Kpl Johbartlee Kanil, 32, dari Sabah dan Kpl Mohd Faizol Rosli, 29, dari Kampung Sungai Limau di Pulai, Baling, hilang selepas terjatuh ke laut ketika sedang mengambil air.

Mohd Faizol bagaimanapun ditemukan oleh anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam jarak 30 meter dari Pulau Perak selepas empat hari hilang (6 Oktober 2016) akibat terjatuh ke laut di Pulau Perak, dekat perairan Langkawi.

Artikel Berkaitan:

Namun Johbartlee dilaporkan masih belum ditemukan sehingga kini. - Bernama