Bekalan air pulih capai tahap 88 peratus

Abdul Raof Ahmad
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang disebabkan oleh pencemaran diesel di Sungai Selangor sejak kelmarin kini pulih mencapai tahap 88 peratus.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, setakat ini hanya bekalan air di Gombak sudah pulih sepenuhnya.

Menurutnya, bagi kawasan Kuala Selangor pemulihan bekalan mencapai tahap 98 peratus, Hulu Selangor (99 peratus); Kuala Lumpur (92 peratus); Petaling (86 peratus); Klang/Shah Alam (81 peratus) dan Kuala Langat (91 peratus).

“Pihak kami sedang meningkatkan usaha menstabilkan aliran dan tekanan di sistem agihan dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air keseluruhan kawasan.

"Bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air terus digerakkan dan pusat khidmat setempat (PKS) di kawasan yang masih belum pulih masih diaktifkan sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Raof berkata, pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan dihadapi pengguna.

Menurutnya, kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan dihargai dan pihaknya memohon pengguna menggunakan air dengan berhemat.

“Pelanggan boleh mendapatkan maklumat dan status terkini pelanggan dengan melayari laman sesawang www.syabas.com,my, Facebook Air Selangor dan Twitter @airselangor atau hubungi di talian 15300,” katanya.

Terdahulu, lebih satu juta akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dilapor sekali lagi terkesan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual bermula malam Ahad lalu.

Ia berikutan pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang terpaksa dihentikan.

Gangguan bekalan terbabit merupakan insiden kedua selepas penutupan kempat-empat LRA yang menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran air disyaki tindakan sabotaj: Xavier


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia