MOA bantu peladangnita pasar produk ke peringkat global

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) komited untuk terus membantu peladang wanita (peladangnita) dalam memasarkan produk mereka di pasaran domestik dan global, kata menterinya Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata selain membantu meningkatkan pendapatan, komitmen itu perlu diteruskan kerana melihat perkembangan peladangnita daripada aspek keusahawanan semakin maju serta kegigihan golongan tersebut yang kompeten dan konsisten dalam meluaskan produk mereka ke pasaran lebih besar.

"Saya melihat progres dalam bentuk di mana peladangnita ini merupakan usahawan yang gigih kerana dapat melahirkan produk-produk (berkualiti).

"...Saya rasa telah sampai masanya untuk kementerian melalui pelbagai agensi membantu memastikan produk mereka dapat dipasarkan sama ada di pasaran domestik atau pun insya-Allah di pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Peladangnita Kebangsaan 2019. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman dan Ketua Pengarah LPP Azulita Salim.

Simposium Peladangnita Kebangsaan 2019 yang diadakan selama dua hari bermula semalam dihadiri hampir 500 peladangnita dari seluruh negara.

Simposium tersebut merupakan platform kepada peladangnita untuk berkongsi pengalaman serta maklumat berhubung pelaksanaan projek dan pemasaran serta membina jaringan perniagaan.

Salahuddin berkata beliau dimaklumkan bahawa kebanyakan peladangnita mengalami kesukaran memperoleh persijilan daripada aspek keselamatan makanan seperti sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kementerian (MoA) akan memikirkan untuk mencari pemudah cara berkenaan perkara ini," katanya.

Katanya, agensi-agensi di bawah kementeriannya seperti LPP dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan sentiasa membekal maklumat mengenai insentif, bantuan, teknologi dan lain-lain kepada semua peringkat peladangnita. - Bernama