Rafizi luah kecewa pada siapa?

Rafizi menyampaikan ucapan pergulungan di Kongres Nasional PKR ke-13 di IDCC hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meluahkan rasa kecewa di pentas Kongres Nasional PKR ke-13 ketika sesi penggulungan, hari ini.

Katanya, perbezaan pandangan dalam isu lain dialukan namun bukan hal berkaitan calon Perdana Menteri ke-8.

"Saya ingin melahirkan rasa sedikit kecewa. Saya perhatikan ada perbincangan dalam WhatsApp, ada posting dalam Facebook kadang-kadang oleh pimpinan kanan parti yang memperlekehkan usaha mengangkat DSAI sebagai PM ke-8.

"Ada yang kata kononnya masa Anwar sudah berakhir, ada yang kata masa untuk yang baru dan macam-macam lagi.

"Berbeza pendapat boleh tapi berbeza pendapat sehingga merendah-rendahkan dan memberi ruang kepada orang di luar untuk menyerang parti dan Anwar, yang ini saya minta hentikan segera," katanya.

Sebelumnya beliau menegaskan kepada perwakilan politik bukan platform untuk mengejar kekayaan.

"Kita tahu kita perlu ambil alih tampuk pemerintahan bukan sebab nak jadi menteri. Nak kaya jangan masuk politik, buat bisnes.

"Kita nak ambil alih tampuk kepimpinan sebab nak ubah dasar negara supaya kita boleh perkasakan yang bawah, yang miskin dan terpinggir ada peluang sama dalam negara yang kaya ini," katanya.