Sekat penjualan 'Ghost Smoke'

Abdul Malik Ab Razak. Foto - Harakahdaily
Abdul Malik Ab Razak. Foto - Harakahdaily
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan segera yang konstruktif bagi membanteras budaya merokok era milenia seperti vape dan pelbagai bahan asap yang lain yang mula merebak dalam kalangan kanak-kanak seawal tujuh tahun.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Abdul Malik Ab Razak berkata, ia susulan penularan terbaru satu rakaman video berkenaan kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Sabah menghisap gula-gula 'Ghost Smoke' yang dimuat naik seorang pengguna Facebook.

Menurutnya, gula-gula tersebut dijual dengan harga 50 sen dan diedarkan secara meluas di sekitar Papar dan berleluasa di daerah lain termasuk Kota Kinabalu, malah turut dijual secara dalam talian dengan harga RM10 sekotak.

"Pemuda Pas ingin melahirkan suatu kebimbangan akan fenomena tidak sihat ini mula merebak dalam kalangan kanak-kanak seawal tujuh ke lapan tahun.

"Bagi kanak-kanak yang menyukai jenis gula-gula ini, mungkin lama kelamaan mereka akan mulai ketagih, bahkan berkemungkinan besar mereka akan menjadi perokok atau pengguna vape apabila dewasa kelak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Malik berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan serius dan memantau fenomena ini di seluruh negara kerana dikhuatiri akan merosakkan generasi muda.

"Lebih parah lagi, ia akan menambah kesan negatif kepada gejala sosial yang sudah-pun dihimpit pelbagai krisis.

"Keseriusan pihak kerajaan meminda perlembagaan bagi melayakkan anak muda sebagai pengundi pada usia 18 tahun perlulah seiring dengan komitmen besar memelihara kesejahteraan warga muda menerusi usaha membanteras gejala sosial melalui pendidikan Islam dan moral," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Video murid hisap gula-gula berasap undang kebimbangan ibu-bapa

Bahagian kualiti, keselamatan makanan KKM mula siasat 'Ghost Smoke'

Wan Azizah mahu penjualan 'Ghost Smoke' dihentikan segera

Premis jual gula-gula 'Ghost Smoke' kena serbu

KPDNHEP Kelantan rampas gula-gula 'Ghost Smoke'

Haramkan segera gula-gula berasap