Demonstrasi bantahan: Pas tuduh ADUN Durian Tunggal jadi punca

Laporan Sinar Harian kelmarin.
Laporan Sinar Harian kelmarin.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pas Melaka menuduh sikap 'double standard' dan provokatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Mohd Sofi Ab Wahab menjadi punca tercetusnya demonstrasi bantahan terhadap kuliah disampaikan Pendakwah, Wan Ji Wan Husin, dua hari lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas 1, Melaka, Wan Zahidi Wan Ismail berkata, Pas Melaka juga kesal dengan tindakan ADUN terbabit yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang tidak mahu melakukan perundingan secara baik bersama Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) selaku penganjur perhimpunan bantahan itu.

Dakwanya, ADUN terbabit juga dengan bahasa yang bersifat provokatif mengarahkan pihak berkuasa (Polis) untuk mengambil tindakan terhadap peserta yang terlibat dengan bantahan tersebut.

"Sebagai seorang wakil rakyat, ADUN Durian Tunggal terbabit sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti masyarakat lebih-lebih lagi anak-anak kariah yang tidak bersetuju terhadap ceramah Wan Ji ini beberapa hari sebelum acara tersebut dijadualkan berlangsung.

"Bantahan bertulis dan lisan oleh UMMAH dibuat kepada AJK Masjid Ar Rahman dan juga laporan polis terhadap penganjur program ini, tetapi malangnya tidak mendapat respon dan tindakan yang sewajarnya dari beliau sebagai wakil rakyat dan Pengerusi Japerun," katanya dalam sidang media di Pejabat Pas negeri di Semabok di sini hari ini.

Wan Zahidi berkata, Pas Melaka tidak bersetuju dengan insiden yang berlaku di dalam masjid tetapi tetap mendukung bantahan dianjurkan UMMAH dengan sokongan semua anak kariah, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di atas beberapa sebab.

"Wan Ji Wan Hussin adalah seorang yang dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948. Beliau bukan sahaja menghina sultan dan raja-raja bahkan turut menghina Rasululllah yang kononnya tidak pernah membenci transgender.

"Tindakan Wan Ji ini menimbulkan kebencian dan prejudis justeru memang tidak sesuai beliau diberikan ruang dan tempat di dalam masjid untuk berceramah atau memberikan kuliah agama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Zahidi (tengah) bersama ahli jawatankuasa Pas Melaka menunjukkan kenyataan media yang dibuat di pejabat Pas negeri di Semabok hari ini.
Wan Zahidi (tengah) bersama ahli jawatankuasa Pas Melaka menunjukkan kenyataan media yang dibuat di pejabat Pas negeri di Semabok hari ini.

Di dalam sidang media itu, beliau turut mempersoalkan apakah Wan Ji benar-benar mendapat tauliah daripada Mufti Negeri Melaka.

"Surat kebenaran untuk berceramah di Masjid Ar Rahman hanya dikeluarkan pada tanggal 19 Julai dan ditandatangani oleh Timbalan Mufti dan bukannya Mufti Negeri Melaka. Di dalam surat berkenaan di perenggan dua turut menyatakan dengan jelas tentang permohonan sesuatu ceramah atau kuliah hendaklah dibuat sebulan sebelum majlis.

"Penyataan di atas jelas menggambarkan permohonan yang dibuat tidak mengikut syarat iaitu dalam tempoh sebulan. Apakah ada campur tangan politik atau tangan-tangan ghaib untuk membolehkan Wan Ji berceramah di masjid itu, yang umum mengetahui Mohd Sofi adalah Timbalan Pengerusi MAIM.

"Kedudukan MAIM adalah di bawah Yang Dipertuan Agong. Tidak seharusnya memanggil penceramah yang didapati bersalah menghina Sultan. Apakah sikap agamawan yang berada di dalam PH yang memilih jalan berdiam diri terhadap isu Wan Ji ini. Apakah mereka juga turut meredai segala tindak tanduk Wan Ji?," soalnya.

Sinar Harian dua hari lalu, melaporkan majlis ilmu dihadiri pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin di Masjid Ar Rahman, Kampung Parit Melana, Durian Tunggal di sini bertukar kecoh.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, Mohd Sofi yang sedang berucap selepas menunaikan solat Maghrib memaklumkan penganjuran ceramah tersebut mendapat kebenaran polis sebelum terdapat pihak yang mencetuskan provokasi.

Tindakan pihak tertentu di luar kawalan menyebabkan Mohd Sofi terpaksa memberhentikan ucapannya dan meminta bantuan pihak polis yang berkawal di masjid sejak petang pada hari tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:

Majlis ilmu dihadiri Wan Ji bertukar kecoh

Wan Ji dakwa kekecohan di masjid dilakukan oleh ahli Pas dan UMNO

Insiden kekecohan dalam masjid sengaja ditimbulkan