14 kes pecah masuk kedai, rumah selesai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MANJUNG - Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes pecah masuk kedai dan rumah sekitar Sitiawan serta Lumut apabila menahan dua lelaki dalam dua serbuan berbeza di sini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, tangkapan pertama dibuat terhadap suspek berusia 27 tahun di kawasan perumahan Jalan Lepeh, Ayer Tawar, di sini semalam.

“Pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menjalankan operasi sekitar jam 1.30 petang ternampak suspek cuba melarikan diri. Pemeriksaan menemui dadah jenis syabu seberat 6.55 gram serta sebatang kunci ‘allen’.

“Soal siasat dijalankan dan suspek mengakui sering melakukan kegiatan pecah kedai sekitar Sitiawan. Suspek juga didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek direman sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1957 dan Seksyen 15(1) akta sama.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah masuk kedai,” katanya.

Muhammad Hanif berkata, tangkapan kedua melibatkan suspek berusia 23 tahun yang sangat dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pecah rumah.

“Suspek ditahan Sabtu lalu di Taman Seri Melor, Ayer Tawar di sini dan merampas sebuah kereta jenis Nissan Sunny yang dipercayai digunakan ketika melakukan kegiatan jenayah.

Artikel Berkaitan:

“Suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dalam pecah rumah dan dua kes memiliki dadah. Suspek juga positif dadah jenis syabu,” katanya.

Katanya, pihaknya akan memohon untuk melanjutkan reman suspek yang akan berakhir esok bagi meneruskan siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.