Rogol: Tujuh pelajar direman tujuh hari

Tujuh pelajar direman sehingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan kes rogol pelajar perempuan.
A
A

MELAKA TENGAH - Seramai tujuh pelajar lelaki dari beberapa sekolah menengah negeri ini direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol seorang pelajar perempuan di daerah ini.

Perintah reman sehingga 29 Julai ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka di Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Permohonan reman berkenaan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kesemua mereka dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana merogol dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan disebat.

Terdahulu, kesemua pelajar berusia 13 hingga 16 tahun yang memakai baju lokap berwarna oren dibawa ke mahkamah berkenaan kira-kira jam 9 pagi untuk prosiding reman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris mengesahkan penahanan pelajar terbabit dan kes terbongkar setelah guru agama kepada pelajar perempuan berkenaan memaklumkan perkara tersebut kepada ibu mangsa.

Pelajar lelaki dari beberapa sekolah menengah direman didakwa terbabit dengan kes rogol seorang pelajar perempuan.
Pelajar lelaki dari beberapa sekolah menengah direman didakwa terbabit dengan kes rogol seorang pelajar perempuan.

Menurutnya susulan daripada itu, ibu mangsa kemudian membawa mangsa membuat laporan polis sebelum mangsa membuat pemeriksaan pakar di Hospital Melaka dan disahkan terdapat kesan koyakan lama di kemaluan.

"Mangsa mengaku melakukan hubungan seks beberapa kali dengan individu dikenali mahupun tidak dikenali dalam tempoh beberapa bulan lalu dipercayai bermula sekitar Oktober tahun lalu," katanya.

Tambahnya, mangsa juga memberitahu dia melakukan hubungan seks dengan ramai lelaki selepas diugut video seksnya yang dirakam oleh individu tidak dikenali akan tersebar dan siasatan lanjut mendapati terdapat 15 suspek disyaki terbabit dalam kes itu.

"Setakat ini 14 suspek telah dikenal pasti manakala seorang lagi suspek tidak dapat dipastikan berikutan pengadu tidak mengenali suspek namun dapat mengecam wajah lelaki itu," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia