Gangguan bekalan air 23 jam di JB minggu depan

 Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebahagian kawasan di Johor Bahru dijangka mengalami gangguan bekalan air bersih selama 23 jam, minggu hadapan.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, gangguan tersebut disebabkan penyelenggaraan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor pada 30 Julai ini.

"Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah meluluskan permohonan pihak Ranhill SAJ untuk melakukan penyelenggaraan di LRA Sungai Johor yang dijadualkan pada 30 Julai ini.

"Penyelenggaraan ini akan mengakibatkan sebahagian kawasan di Johor Bahru mengalami gangguan bekalan air bersih selama 23 jam bermula 10 pagi (Selasa, 30 Julai) sehingga 9 pagi (Rabu, 31 Julai)," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Wee Tse berkata, gangguan bekalan air bersih itu akan melibatkan kira-kira 170,000 akaun, namun pengguna diminta tidak panik kerana ia merupakan penyelenggaraan rutin.

"Ia bagi memastikan kualiti pembekalan air bersih dapat terus dibekalkan kepada semua pengguna pada masa akan datang.

"Pengguna terlibat disaran untuk menyimpan air secukupnya bagi kegunaan sepanjang tempoh gangguan berlaku dan menggunakan air secara berhemah," katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat lanjut dan informasi terkini boleh didapati di laman sesawang www.ranhillsaj.com.my dan talian mesra 1-800-88-7474 atau SMS 019-7727474.

Artikel Berkaitan: