Tauliah agama Wan Ji: JAKIM serah kepada JAIM

No Image Caption
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyerahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk membuat keputusan mengenai status pentauliahan mengajar agama melibatkan penceramah, Wan Ji Wan Hussin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pentauliahan bagi membenarkan seseorang itu mengajar dan menyampaikan tauliah terletak di bawah bidang kuasa jabatan agama Islam negeri.

Menurutnya, kekecohan yang berlaku di sebuah masjid di Melaka pada malam Ahad lalu dilakukan sekumpulan individu dalam kelompok kecil.

"Saya kira mereka yang membuat kekecohan itu hanya kelompok yang kecil tetapi perkara itu dibesarkan. Apapun JAKIM serahkan kepada jabatan agama Islam negeri untuk buat keputusan kerana dia (Wan Ji) sebenarnya ada tauliah.

"Sebab itu saya harap institusi masjid tidak dipolitikkan dan tidak dijadikan isu. Kalau tak setuju pun beritahulah kepada jabatan agama Islam, kenapa nak buat kecoh dalam masjid?," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Intifal Huffaz Peringkat Kebangsaan dan Ekspo Konvokesyen Darul Quran JAKIM, petang tadi.

Fuziah bersama 746 peserta dari 10 kontinjen membabitkan maahad tahfiz seluruh negara yang berkolaborasi dengan Darul Quran.
Fuziah bersama 746 peserta dari 10 kontinjen membabitkan maahad tahfiz seluruh negara yang berkolaborasi dengan Darul Quran.

Fuziah berkata, pihak terbabit dilihat seperti mempunyai motif tertentu selain meminta pentauliahan Wan Ji ditarik balik.

Artikel Berkaitan:

"Yang kecoh itu kumpulan kecil tapi membuat bising. Terserah kepada jabatan agama Islam negeri kerana JAKIM hanya beri tauliah untuk kawasan Wilayah Persekutuan.

"Saya sendiri di Pahang pun tak ada tauliah," katanya ketika mengulas kenyataan Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang mempersoalkan Wan Ji masih diberi kebenaran berceramah walaupun disabitkan bersalah menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, bahawa tiada sebarang aduan dan laporan lanjut diterima berhubung video sekumpulan jemaah yang mengamalkan zikir pelik di sebuah surau di Ulu Tembeling, Jerantut pada 11 Julai lalu.

Menurutnya, lelaki dikenali sebagai Toki itu difahamkam baru pertama kali ke kampung berkenaan dan sukar dikesan sebaik penularan video tersebut.

"Saya yakin Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan mengambil tindakan bagi memastikan mereka mengikut ajaran Sunnah Wal Jamaah.

"Setakat ini tiada laporan polis dan sekiranya ada aduan, kita akan siasat. Sebab itu orang ramai perlu segera melaporkan kepada jabatan agama sekiranya ada kes ajaran yang menyimpang sebegini," katanya.