'Awang Besol' sudah tiada

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Seekor harimau belang yang ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan dan Hidupan Liar (Perhilitan) pada 19 Julai lalu selepas berkeliaran di sekitar Kampung Besol Lama, Bukit Bes, Dungun, Terengganu disahkan mati pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), harimau tersebut mati di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak kira-kira jam 5.30 pagi.

Jelasnya, pemeriksaan fizikal di lapangan pada 19 Julai lalu ke atas haiwan tersebut menemukan kecederaan pada bahagian kaki, keradangan mata selain keadaannya yang mengalami dehidrasi.

Malah menurut kenyataan itu, pemindahan harimau tersebut ke NWRC bagi mendapatkan rawatan intensif daripada Doktor Veterinar Jabatan Perhilitan dan dikuarantin.

"Pemantauan rapi di NWRC pada 20 hingga 23 Julai 2019 menunjukkan terdapat tanda-tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan tanda klinikal jangkitan saluran pernafasan iaitu nasal discaj.

"Rawatan yang diberikan adalah secara simptomatik atau pun rawatan sokongan. Persampelan darah, serum serta swab telah dilakukan dan sampel telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh, di sini pada 21 Julai lalu," kata kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini.

Menurut kenyataan itu, keputusan virologi yang diterima semalam menunjukkan “Awang Besol” positif 'Virus Canine Distemper'.

Katanya, pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan Awang Besol dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana menurut kenyataan itu, harimau itu telah disahkan mati di NWRC oleh Doktor Veterinar Jabatan Perhilitan dan bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin.

"Canine Distemper adalah penyakit yang disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesies harimau. Jika penyakit ini terkena pada harimau ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis.

"Pihak Jabatan tidak menolak kemungkinan Canine Distemper yang dihadapi Awang Besol disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul lama, Bukit Besi, Dungun Terengganu," katanya lagi.

Pada 18 Julai lalu penduduk di sekitar Kampung Besol lama, Bukit Besi, Dungun Terengganu gempar dengan kehadiran harimau belang yang berkeliaran di rumah penduduk di situ.

Pihak Jabatan Perhilitan masih memantau kawasan tersebut dan memasang perangkap harimau bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar kampung berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) meminta orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan Perhilitan dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan harimau di kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN 'Awang Besol' alami kecelaruan minda