MOF sedia pinjaman RM5 juta untuk Skim Pendawaian Luar Bandar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan telah menyediakan pinjaman mudah RM5 juta kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk melaksanakan Skim Bantuan Pendawaian Luar Bandar (ARWS) di Sabah tahun ini.

Pemangku Pengarah Urusan SESB Ir Abdul Nasser ABdul Wahid berkata menerusi ARWS, SESB akan terus membantu golongan tidak bernasib baik mendapat bantuan pendawaian rumah yang selamat agar mereka dapat menikmati bekalan elektrik.

“Kos yang tinggi bagi pendawaian dalaman merupakan salah satu sebab mereka tidak mampu menikmati bekalan elektrik di rumah masing-masing.

“SESB akan membantu membiayai kos pendawaian dalaman di rumah pelanggan yang layak,” katanya selepas meninjau projek ARWS di Kampung Haji Matahir Laut, Merotai, di sini hari ini.

Pendawaian dalaman ini melibatkan kos lebih daripada RM800 untuk pemasangan di rumah pelanggan dengan bayaran minimum RM17 secara ansuran selama 48 bulan yang akan dimasukkan ke dalam bil bulanan mereka.

Sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2011, sejumlah 4,176 pelanggan termasuk 113 di Tawau telah menikmati bantuan selain penduduk di Tenom, Kemabong, Nabawan, Keningau, Lahad Datu, Papar, Kota Marudu, Kudat, Pitas, Ranau, Kota Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Darwisa Rijalin, 40, melahirkan kesyukuran selepas terpilih menerima skim berkenaan, dengan lebih 16 tahun menggunakan lilin pada waktu malam.

"Saya tinggal di rumah ini sejak 17 tahun bersama tujuh anak berusia empat hingga 19 tahun, sepanjang tempoh lebih 16 tahun kami memasang lilin pada waktu malam, anak-anak belajar menggunakan lilin.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi beberapa bulan lalu, saya menumpang elektrik daripada rumah jiran dengan bayaran RM300 sebulan, selepas jiran membeli generator dan syukur hari ini, kami tidak perlu begelap lagi dan bayaran pun tidak membebankan," katanya.

Darwisa bekerja sebagai pembersih di sebuah ladang dekat sini dan turut membuat pelbagai jenis kuih untuk dijual bagi menampung kos sara hidup diri serta anak-anaknya selepas kehilangan suami pada tiga tahun lalu. - Bernama