KFA nafi pemain import Lang Merah tidak berkualiti

Fernando telah menjaringkan empat gol buat Kedah bagi aksi Piala FA 2019 setakat ini. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
Fernando telah menjaringkan empat gol buat Kedah bagi aksi Piala FA 2019 setakat ini. - Foto AHMAD ZAKI OSMAN
A
A
A

KEJAYAAN Kedah menempatkan dirinya ke pentas akhir Piala FA 2019 pada Sabtu ini bertemu Perak adalah hasil semua pihak termasuk barisan pemain importnya.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa berkata, pendapat segelintir penyokong Lang Merah bahawa pemain import mereka pada musim ini iaitu Jonathan Bauman, Fernando Ortega, Renan Alves, Edgar Bernhardt dan Shakir Hamzah tidak berkualiti adalah tidak tepat.

Jelasnya, jika pemain-pemain import pasukan itu tidak berkualiti, beliau percaya Kedah tidak akan sampai ke pentas akhir Piala FA 2019.

"Semua sasaran yang diletakkan pada tahun ini tercapai apabila berada di tangga keempat Liga Super 2019 berbanding sasaran lima pasukan terbaik.

"Dengan kekuatan semasa yang kita ada juga, kita telah sampai ke pentas Piala FA 2019 dan saya rasa tanggapan sesetengah penyokong Kedah adalah tidak tepat. Kita juga masih belum tewas di Stadium Darul Aman pada tahun ini," katanya ketika mengulas pandangan segelintir penyokong Lang Merah bahawa pemain import gagal memberikan impak yang baik kepada pasukan tersebut.

Anas Hafiz berkata, walaupun pemain import Kedah 2019 dilihat kurang berpengaruh berbanding Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi, mereka tetap membantu pasukan untuk mencapai sasaran walaupun baharu sahaja bersama pasukan pada tahun ini.

Menurutnya lagi, beliau juga berharap keputusan tewas kepada Felda United 5-1 pada aksi terakhir Liga Super 2019 tidak menjadi alasan buat penyokong untuk tidak hadir memberikan sokongan padu kepada pasukan di Stadium Bukit Jalil.

"Penyokong tidak boleh membuat ukuran berdasarkan perlawanan baru-baru ini kerana jelas ia melibatkan dua kejohanan yang berbeza kerana untuk sampai ke pentas Final Piala FA bukan satu perkara yang mudah," katanya.

Artikel Berkaitan: